Berita Auto

BMW X5 xDrive45e Dengan M Performance Parts – RM480,800

Tahun lalu, pengedar rasmi BMW iaitu Auto Bavaria menawarkan 30 unit BMW X5 xDrive45e dengan M Performance dan kesemuanya habis terjual dalam masa seminggu. Menyedari populariti model itu, Auto Bavaria sekali lagi membawa masuk model yang sama namun untuk kelompok kedua ini, ia terhad kepada 22 unit sahaja.

Model edisi terhad ini dijual pada harga RM480,800 (tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans) dan didatangkan dengan pelbagai hadiah percuma bernilai RM22,000.

Menurut Pengarah Urusan Sime Darby Auto Bavaria, Vi Thim Juan, pakej M Perfomance Parts yang disertakan pada model ini bukan sahaja membuatkannya kelihatan lebih menarik namun turut membantu meningkatkan prestasi aerodinamiknya.

Berharga RM36,600, pakej M Performance Parts berkenaan merangkumi gril depan berwarna hitam berkilat, perumah cermin sisi yang diperbuat daripada gentian karbon, rim aloi Start Spoke 748M berukuran 20 inci, serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Pelanggan akan membawa pulang hadiah-hadiah percuma berupa beg pakaian mewah, payung BMW, set penjagaan kulit BMW dengan perlindungan UV, baucar pad brek dan cakera brek BMW dan cawan seramik bertebat Sttoke Classic 16oz.

Tiada perubahan dari segi mekanikal, bermakna X5 xDrive45e dengan M Performance Parts masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan teknologi eDrive bagi menghasilkan kuasa berjumlah 394 hp dan 600 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 235 km/j.

Auto Bavaria merupakan rangkaian pengedar BMW, MINI dan BMW Motorrad yang dimiliki oleh Sime Darby. Ia mempunyai enam cawangan iaitu Sime Darby Motors City Ara Damansara, Sungai Besi, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Tebrau.

Previous post

Porsche Macan T Kitaran Hayat Terakhir Model Gen Pertama

Next post

Honda CB650R, CBR650R Kini Dengan Pilihan Warna Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *