Motosikal / Lain Lain Roda

Honda RS-X Dilancarkan Di Malaysia – RM8,688

Model kapcai yang ditunggu-tunggu iaitu Honda RS-X telah dilancarkan secara rasminya oleh Boon Siew Honda. Ia dijual pada harga bermula dari RM8,688 tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.

Menggantikan RS150R, RS-X tampil dengan penggayaan yang cukup agresif dengan badan yang direka secara aerodinamik, lampu LED berkembar dan bahagian ekor yang tajam dan langsing. Bukan itu sahaja, ekzosnya juga direka bentuk seperti ekzos motosikal besar.

Kuasa dibekalkan oleh enjin DOHC silinder tunggal bersesaran 150 cc yang mematuhi piawaian emisi Euro 4. Ia menghasilkan kuasa maksimum berjumlah 11.8 kW (15.8 hp) pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm, yang disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan. Sistem suntikan bahan api PGM-FI (Programmed Fuel Injection) pula memberikan penjimatan bahan.

Sementara itu, sistem suspensi merangkumi fork teleskopik pada bahagian hadapan dan penyerap hentak dengan lengan ayun di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian hadapan dan belakang, lengkap dengan ABS saluran tunggal.

Ciri-ciri lain yang disertakan pada model ini termasuk susi pembuka tempat duduk, pelindung pacuan rantai dan speedometer digital penuh yang bertindak memaparkan pelbagai jenis maklumat penting kepada penunggang.

Boleh didapati menerusi wakil pengedar sah Boon Siew Honda di seluruh negara, Honda RS-X ditawarkan dalam tiga warna iaitu Trico Edition, Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow.

Previous post

Stellantis Ambil Alih Kilang NAZA Di Gurun, Kedah

Next post

Mercedes-AMG SL Kini Eksklusif Dengan Enjin Biturbo V8

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *