Berita Auto

Toyota Supra ‘Fast & Furious’ Dilelong Pada Harga RM2.3 Juta

Masih ingat Toyota Supra berwarna oren yang akan dilelong oleh Barrett-Jackson ini? Acara lelongan tersebut telah melabuhkan tirainya di Las Vegas baru-baru ini dan seperti yang dijangka, ia dibida pada harga yang tinggi iaitu $550,000 (RM2.3 juta), sekaligus menjadikannya Supra paling mahal setakat ini.

Membelanjakan setengah juta dolar untuk sebuah kereta sport Jepun berusia hampir 30 tahun memang satu perbuatan yang tidak munasabah namun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Supra yang dilelong ini bukanlah calang-calang. Ia adalah unit yang sama yang dipandu oleh mendiang Paul Walker dalam filem pertama francais Fast & Furious. Jadi, boleh dikatakan yang pembida itu membayar harga yang tinggi untuk nilai sentimentalnya.

Dibina oleh Eddie Paul dari bengkel The Shark Shop di El Segundo, California, Supra ini dilengkapi dengan beberapa komponen ‘aftermarket’ seperti spoiler hadapan dan skirt sisi dari Bomex, hud ala TRD, spoiler aluminium APR dan rim Dazz Motorsport Racing Hart M5 Tuner berukuran 19 inci. Warna oren yang digunakan ini dikenali sebagai Candy Orange, manakala grafik ‘Nuclear Gladiator’ pada bahagian sisinya adalah hasil rekaan Troy Lee.

Apa yang menarik, enjin 2JZ-GTE yang tersimpan kemas di bawah hud masih dalam keadaan standard. Bagaimanapun, jangan tertipu dengan aksi menukar gear yang ditunjukkan oleh Brian O’Conner dalam filem itu kerana jentera ini sebenarnya dilengkapi dengan transmisi automatik empat kelajuan.

Previous post

Ini Mungkin Rupa Mazda CX-50 Yang Akan Datang

Next post

Alejandro Mesonero-Romanos Ketuai Bahagian Reka Bentuk Alfa Romeo

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *