Berita Auto

GAC Trumpchi EMPOW55 Ada Rupa Dan Kuasa

Industri automotif China telah menunjukkan perkembangan yang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dalam tempoh itu, kita telah pelbagai jenis reka bentuk kereta dari republik itu – ada yang ditiru bulat-bulat dari model sedia ada dan ada juga yang menampilkan rekaan asli yang menarik. Walaupun Trumpchi EMPOW55 keluaran GAC Motor ini bukanlah rekaan asli 100%, ia masih sebuah sedan kacak yang bakal mencuri tumpuan pembeli apabila memasuki pasaran tahun ini.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-9

Jika anda terlepas, EMPOW55 membuat penampilan awam pertamanya di Guangzhou International Automobile Exhibition ke-18 yang diadakan pada November tahun lalu. Sedan sporty itu dipertontonkan bersama-sama dengan 70 lagi kenderaan dari lapan jenama utama yang bernaung di bawah Kumpulan GAC, namun reka bentuknya yang tajam itu membuatkan ia lebih menonjol.

Pada bahagian hadapan, rekaan lampu yang bersegi dengan lampu nyalaan siang menegak, garisan hud yang dominan serta gril yang terbuka luas membentuk ‘wajah’ yang garang. Kereta yang ditampilkan ini adalah versi ‘S’ yang lebih sporty yang boleh dibezakan dengan versi biasa dengan rekaan gril yang lebih agresif serta perincian berwarna kuning.

Walaupun rekaannya menarik, ia bukanlah seasli yang disangka kerana ia mengingatkan penulis kepada Hyundai Elantra pra-facelift generasi keenam. Sudut kiri dan kanan bampar pula jelas ‘dipinjam’ daripada Audi.

Beralih ke bahagian sisi, rekaan garis bumbung yang melengkung dan bahagian belakang yang pendek memberikan EMPOW55 profil sisi ala fastback, manakala garisan karakter berbentuk ‘C’ pula adalah keseinambungan kepada skema reka bentuk tajamnya. Jalur krom pada bahagian atas tingkap kini didatangkan dalam warna hitam, manakala angkup brek pula berwarna kuning.

Rekaan bahagian belakang tidaklah sedramatik bahagian hadapan namun ia masih tampil menarik dengan adanya lampu belakang ‘smoked’ serta diffuser yang menempatkan empat muncung ekzos. Mungkin dengan kehadiran spoiler ‘ducktail’, jentera ini akan kelihatan lebih ganas.

Untuk rekaan bahagian dalaman pula, GAC Motor mengambil pendekatan yang lebih sederhana. Ia boleh dilihat menerusi rekaan papan pemuka dan konsol tengah yang kemas dan bersih. Sekali lagi, corong udara yang memanjang diinspirasikan oleh Audi, manakala paparan menegak yang menggabungkan kluster instrumen dan skrin tengah adalah ciri yang diambil daripada sistem infotainmen MBUX oleh Mercedes-Benz.

Dari segi mekanikal, EMPOW55 dibina menggunakan platform Global Platform Modular Architecture (GPMA) yang dikatakan mempunyai pusat graviti yang rendah dan ukuran tapak roda yang panjang. Versi S ini dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter epat silinder yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan 177 PS dan 270 Nm, bermakna ia lebih berkuasa berbanding Honda Civic yang mempunyai 173 PS dan 220 Nm.

GAC Trumpchi EMPOW55
Previous post

Nissan Flagship Store Dilancarkan Di Lazada Malaysia

Next post

Sekali Lagi Pemilik Peugeot Di Malaysia Diminta Mengemas Kini Maklumat Mereka

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *