Pandu Uji

Pandu Uji: BMW 218i Gran Coupe M Sport


Suatu ketika dahulu, BMW pernah mengatakan bahawa mereka tidak akan sesekali menghasilkan kereta pacuan roda hadapan. Ia dilihat bertentangan dengan tradisinya yang menjanjikan keseronokan dalam pemanduan atau ‘Sheer Driving Pleasure’ menerusi pacuan roda belakang.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-25

Namun, atas beberapa faktor seperti trend pasaran, permintaan serta kos pengeluaran, BMW akhirnya terpaksa akur. Pada 2015, lahirlah model pacuan roda hadapan pertama dari Munich iaitu 2 Series Active Tourer and Gran Tourer. Empat tahun kemudian, muncul pula hatchback lima pintu 1 Series (F40).

Kini, BMW mempunyai satu lagi model pacuan roda hadapan iaitu 2 Series Gran Coupe, yang merupakan sebuah sedan empat pintu dengan garisan bumbung yang agak rendah seperti sebuah coupe. Ia dihasilkan bagi menyaingi Mercedes-Benz CLA yang ternyata popular di kalangan pembeli daripada kumpulan berusia muda.

Bagi pasaran Malaysia, model ini boleh didapati dalam satu varian sahaja iaitu 218i Gran Coupe M Sport. Ia dilancarkan pada Oktober tahun lalu, dalam versi pemasangan tempatan (CKD) dari Kulim, Kedah, pada harga RM211,367 selepas pengecualian cukai jualan SST.

Dengan pacuan roda hadapan dan platform UKL2 yang turut digunakan pada beberapa model MINI seperti Countryman dan Clubman, pasti ramai yang tertanya-nyata sama ada 218i ini adalah sebuah model yang masih mengekalkan DNA BMW atau dihasilkan sekadar untuk membantu menaikkan jualan? Bagi penulis, ia adalah kedua-duanya.

Jika dilihat dari segi reka bentuk, model ini masih mengekalkan elemen utama yang menjadikannya sebuah BMW iaitu jeriji ‘kidney’. Ia tidaklah sebesar jeriji 4 Series namun saiznya boleh dikatakan agak menonjol untuk sebuah kereta kompak. Mengapitnya adalah lampu LED penuh dengan rekaan yang agak sama dengan lampu 1 Series.

Ya, jika diikutkan, 2 Series Gran Coupe sebenarnya adalah 1 Series yang diberikan but bagi menjadikannya sebuah sedan. Mungkin kerana itulah rekaan bahagian belakangnya dilihat agak pelik dan tinggi. Bukan penulis seorang sahaja yang berpendapat sebegini kerana rata-rata orang yang melihatnya turut memberikan komen yang sama.

Dalam erti kata lain, ia tidak mempunyai penampilan tipikal sebuah BMW seperti 3 Series, misalnya. Bagaimanapun, susun atur ruang kabinnya tidak ubah seperti model-model BMW sedia ada atau secara spesifiknya 1 Series. Seperti bahagian luaran, bahagian diberi sentuhan sporty menerusi kelengkapan M seperti stereng dan set pedal keluli.

Kelengkapan yang diberikan boleh dikatakan sekadar cukup untuk memuaskan hati pembeli. Ini termasuk sistem BMW Live Cockpit Plus dengan panel instrumen analog dengan skrin 5.1 inci dan skrin sentuh 8.8 inci. Ia tidak semewah sistem MBUX yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz namun sekurang-kurangnya ia lancar dan mudah untuk digunakan.

Rekaan garis bumbung yang rendah sedikit sebanyak menjejaskan ruang lega kepala di bahagian belakang tetapi dengan posisi tempat duduk agak rendah, penulis rasakan ia cukup selesa untuk mereka yang bersaiz sederhana. Ruang but berkapasiti 430 liter dilihat mampu untuk memuatkan bagasi untuk sebuah keluarga kecil.

Gabungan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan membuktikan yang model kompak tidak memerlukan enjin besar untuk prestasi yang mengujakan. 140 hp dan 220 Nm bukanlah jumlah yang besar, namun sifat responsif yang ditunjukkan oleh enjin itu serta penukaran gear yang cepat memberikan sensasi pemanduan yang agak mengetagihkan.

Enjin tiga silinder sering kali dikaitkan dengan gegaran dan dianggap tidak selancar unit empat silinder. Ini ada benarnya dengan enjin berkod B38 ini, yang menghasilkan gegaran yang agak ketara apabila dihidupkan. Namun, gegaran itu akan hilang sebaik sahaja pedal pendikit ditekan. Ketika berhenti di lampu isyarat pun tiada sebarang bunyi yang kurang menyenangkan dari ruang enjin.

Dari segi pengendalian, penggunaan sistem suspensi M dan rim aloi M berukuran 18 inci memberikan jentera ini karakter lincah dan meyakinkan di jalan-jalan berselekoh. Suspensi yang digunakan itu terasa sedikit keras, namun tidaklah sehingga menyebabkan badannya melantun-lantun ketika melalui permukaan yang tidak rata. Ia masih selesa dan mampu menyerap hentakan dengan baik.

Bagaimana pula dengan pacuan roda hadapan? Sudah pastinya, anda akan merasakan perbezaan antara 218i dengan 3 Series terutamanya apabila melayan selekoh pada kelajuan yang tinggi. ‘Understeer’ sememangnya boleh dirasakan namun ia akan dineutralkan dengan efektif oleh teknologi ARB (Near-Actuator Wheel Slip Limitation) dan Electronic Differential Lock Control (EDLC).

Secara keseluruhannya, 218i Gran Coupe M Sport dilihat sebagai sesuatu yang sudah cukup bagus bagi mereka yang baru ingin merasai sendiri kehebatan jentera berjenama BMW. Pendek kata, harganya sepadan dengan kualiti, prestasi dan kelengkapan yang ditawarkan dan ini sudah pastinya akan menarik lebih ramai pembeli. Bagaimanapun, jangan salah sangka kerana bagi penulis, hanya 3 Series dan model ke atas sahaja yang mampu memberikan pengalaman ‘Sheer Driving Pleasure’ yang sepenuhnya.

BMW 218i Gran Coupe M Sport

Spesifikasi BMW 218i Gran Coupe M Sport
Enjin: TwinPower Turbo tiga silinder
Kapasiti: 1,499 cc
Kuasa: 140 hp @ 4,600 – 6,500 rpm
Tork: 220 Nm @ 1,480 – 4,200 rpm
Transmisi: Klac berkembar Steptronic 7 kelajuan
0-100 km/j: 8.7 saat
Kelajuan maksimum: 213 km/j
Harga: RM211,367 selepas pengecualian SST

Previous post

Pelancaran Global Generasi ke-11 Honda Civic Sedan

Next post

Yamaha NVX 2021 Dapat Enjin Lebih Berkuasa Dan Sistem Y-Connect

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.