Cerita Auto

BMW M135i xDrive Dilancarkan – RM355k

BMW Malaysia hari ini melancarkan BMW M135i xDrive yang merupakan model ‘flagship’ dalam barisan 1 Series generasi ketiga.

Model yang dikenali sebagai ‘The 1’ ini hadir dengan jeriji kidney berwarna Cerium Grey, lampu LED adaptif hadapan dan lampu tiga dimensi berbentuk L pada bahagian belakang. Spoiler BMW M dan rim aloi 557 M berukuran 19 inci memberikan imej yang sporty.

Untuk pasaran Malaysia, M135i boleh didapati dalam warna Alpine White, Black Sapphire, Misano Blue, Mineral Grey atau Melbourne Red.

Bahagian kokpit pula menampilkan kemasan trim interior ‘Illuminated Boston’ serta upholsteri kulit Dakota yang boleh didapati dalam warna hitam atau Magma Red. Elemen-elemen M juga menghiasi kerusi sport, tali pinggang keledar, dan stereng yang dibalut kemasan kulit.

Kerusi hadapan yang boleh dilaras dengan elektrik serta fungsi memori untuk kerusi pemandu, penyaman udara automatik dua zon, material bumbung antrasit, pengecas tanpa wayar, serta sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara adalah antara kelengkapan yang disertakan.

M135i xDrive dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghamburkan 306 hp dan 450 Nm. Dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat. Kelajuan maksimum dihadkan pada 250 km/j.

Model ini turut dilengkapi dengan sistem suspensi M, teknologi ARB (Actuator Continuous Wheel Slip Limitation), differential Torsen serta ciri Active Sound Design yang berfungsi menguatkan bunyi sebenar daripada enjin. Kuasa membrek pula dibekalkan oleh sistem brek M Sport.

Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) adalah RM355,646.25. Ia termasuk waranti tanpa had perbatuan bertempoh lima tahun dan program servis berjadual percuma.

Previous post

Rebat Sehingga RM7,000 Untuk Ford Ranger WildTrak, XLT Plus dan XL

Next post

BMW X1 sDrive18i Masuk Pasaran Malaysia - RM208k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *