Berita Auto

BMW 218i Gran Coupe M Sport Dilancarkan di Malaysia

BMW 2 Series Gran Coupe baharu telah dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Hadir dalam varian 218i M Sport, sedan coupe empat pintu itu boleh mula ditempah pada harga RM1,000.

Dengan ukuran 4,526 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,420 mm tinggi, 218i Gran Coupe M Sport mempunyai pusat graviti yang rendah yang menyerlahkan lagi kedinamikannya. Walaupun mempunyai garis bumbung yang agak rendah, penumpang masih mampu menikmati ruang kabin yang luas dengan tapak roda berukuran 2,670 mm.

Model ini hadir dengan gril ‘kidney’ tunggal dalam rekaan tiga dimensi yang baharu, lampu hadapan LED serta lampu kabus LED yang langsing. Ia mempunyai rim berukuran 18 inci rekaan 819 M Bicolour yang dibalut tayar ‘runflat’. Pakej M Aerodynamics dan Shadow Line BMW Individual turut disertakan secara standard. BMW Malaysia menawarkan lima pilihan warna luaran iaitu Alpine White, Black Sapphire, Snapper Rock Blue, Storm Bay, dan Melbourne Red.

Di dalam, terdapat upholsteri kuli Dakota berwarna hitam, stereng M multifungsi, penyaman udara automatik dua zon serta sistem pencahayaan ambien yang merupakan sebahagian daripada Lights Package.

Selain itu, 218i Gran Coupe juga mendapat BMW Live Cockpit Plus yang menampilkan takometer dan meter laju analog, serta skrin 5.1 inci berformat potret 4:3 yang memaparkan butiran seperti kelajuan kereta, status sistem bantuan pemandu dan arahan navigasi. Ia dilengkapkan oleh paparan kawalan skrin sentuh 8.8 inci.

Di belakang, ruang but berkapasiti 430 liter (40 liter lebih lebar berbanding 2 Series Coupe) memudahkan pengguna. Ruang ini boleh diperbesarkan lagi dengan melipat tempat duduk belakang dalam pembahagian 40/20/40. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah Comfort Access 2.0, kunci digital BMW, serta pengecas tanpa wayar Telephony.

218i Gran Coupe M Sport dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter tiga silinder yang menghasilkan 140 hp dan 220 Nm. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi dwiklac Steptronic tujuh kelajuan, sekaligus membolehkan kereta ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.7 saat dengan kelajuan maksimum 213 km/j.

Bagi meminimumkan ‘understeer’ yang biasanya dialami oleh kereta pacuan roda hadapan, model ini dilengkapi dengan teknologi ARB (near-actuator wheel slip limitation) yang membenarkan intervensi kawalan yang lebih pantas dan sensitif.

Teknologi ini menampilkan sistem kawalan gelincir yang terletak di dalam unit kawalan enjin. Ia mewujudkan jarak signal yang lebih singkat, dengan kuasa enjin yang akan dikurangkan jika wujud potensi kegelinciran pada roda hadapan.

Selain itu, bantuan pemanduan ditawarkan melalui BMW Personal CoPilot yang menampilkan ciri-ciri seperti Driving Assistant, Parking Assistant, dan Reversing Assistant. Driving Assistant merangkumi Lane Change Warning, Crossing Traffic Warning di belakang, Rear Collision Warning, dan Speed Limit Assist.

Ia juga meliputi Lane Departure Warning dengan intervensi stering aktif, serta Forward Collision Warning dengan fungsi intervensi brek. Turut disertakan adalah Active Park Distance Control dan bantuan parkir lateral.

Dipasang di Kulim, Kedah, 218i Gran Coupe M Sport ditawarkan pada harga RM218,800 termasuk waranti tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma untuk lima tahun.

Previous post

Hyundai i20 N Bakal Hadir Dengan 201 HP, 275 Nm?

Next post

Vespa Primavera Sean Wotherspoon Tarik Perhatian Ramai

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *