Motosikal / Lain Lain Roda

Ini Dia Suzuki GSX-R1000R 100th Anniversary Edition

Tahun lalu, Suzuki meraikan ulang tahunnya yang ke-100 dengan memperkenalkan model edisi terhad bagi superbike flagshipnya iaitu GSX-R1000R. Dikenali secara rasmi sebagai GSX-R100R “100th Anniversary Edition”, model ini juga merupakan satu penghormatan kepada pencapaian cemerlang jenama dari Jepun itu dalam bidang sukan permotoran.

Model edisi ulang tahun ini boleh dibezakan dengan versi standard menerusi skema warna biru dan perak yang menyerlah yang diinspirasikan oleh jentera MotoGP pasukan Suzuki iaitu GSX-RR. Menariknya, liveri dua tona itu sebenarnya diilhamkan oleh motosikal lumba Grand Prix Suzuki dari era 1960-an.

Selain warna berkenaan, model ini tidak mempunyai sebarang penambahbaikan, bermakna ia kekal dengan enjin DOHC, sejukan cecair empat silinder sebaris bersesaran 999 cc yang dikatakan mampu menghasilkan kuasa ‘top end’ yang hebat serta tarikan kuat pada julat rendah pertengahan dengan adanya sistem Variable Valve Timing (VVT).

Udara untuk enjin masuk menerusi sepasang saluran masuk Suzuki Ram Air Direct (SRAD) yang diletakkan pada bahagian hadapan berdekatan dengan lampu, dan keluar menerusi sistem ekzos 4-2-1 yang mempunyai rekaan muffler yang diperbaharui serta pelindung haba. Kuasa disalurkan menerusi transmisi enam kelajuan dengan nisbah yang rapat dan sistem Quick Shift yang membolehkan gear dinaikkan atau diturunkan tanpa menggunakan klac.

GSX-R1000R mempunyai kerangka aluminium twin-spar yang dikatakan lebih ringan dan kompak berbanding GSX-R1000 yang terdahulu. Casis tersebut dipadankan dengan Showa Balance Free Front Fork (BFF) pada bahagian hadapan dan Showa Balance Free Rear Cushion Light (BFRC-lite) pada bahagian belakang.

Lengan ayun jentera ini mempunyai fungsi boleh laras bagi membolehkan penunggang membuat talaan untuk dimanfaatkan di litar lumba. Sistem brek pula terdiri daripada cakera Brembo dan angkup radial, serta ABS.

Untuk sistem elektronik pula, GSX-R1000R dilengkapi dengan unit pengukur inersia (IMU), Traction Control, pemilih mod tunggangan, serta Motion Track Anti-lock Brake dan Launch Control. Ia juga mempunyai panel instrumen LCD dengan latar belakang hitam seperti yang terdapat pada GSX-RR.

Previous post

Proton Jual Hampir 15,000 Unit Kenderaan Pada Mac 2021

Next post

ISUZU D-MAX Model Generasi Ke-3 Semua Baharu Akan Datang Tidak Lama Lagi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *