Berita Auto

Mitsubishi Motors Malaysia Lancar Bilik Pameran Dalam Talian

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini melancarkan bilik pameran dalam talian bagi memenuhi keperluan pelanggan mereka yang ingin membeli kenderaan Mitsubishi secara dalam talian.

Ciri utama bilik pameran dalam talian ini adalah pandangan 360 darjah bagi bahagian luaran dan dalaman kenderaan, serta galeri yang mengandungi lebih banyak imej kenderaan dari pelbagai sudut. Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kenderaan itu dan ciri-cirinya dengan mengklik butang interaktif yang disediakan.

Dengan pelancaran bilik pameran dalam talian ini, pelanggan juga tidak perlu berkunjung ke bilik pameran fizikal untuk memandu uji kenderaan Mitsubishi. Mereka boleh menggunakan perkhidmatan Test Drive 2U dan mengikuti beberapa langkah mudah bagi pengedar sah untuk membawa kenderaan pandu uji ke lokasi yang dipilih.

Jika berpuas hati, pelanggan boleh terus membuat tempahan dengan mengisi borang permohonan secara dalam talian. Wakil pengedar sah MMM akan menghubungi mereka untuk membantu dalam urusan permohonan pinjaman serta insurans.

Bukan itu sahaja, MMM juga telah menjalinkan kerjasama dengan MyTukar, sebuah pasaran kereta terpakai dalam talian, untuk menawarkan promosi istimewa kepada pelanggan yang ingin menukar beli (trade in) kenderaan mereka menerusi bilik pameran dalam talian Mitsubishi.

Selepas mengisi borang yang disediakan, pelanggan akan diberikan pilihan untuk melakukan pemeriksaan kereta, penyerahan, penukaran hak milik dan pengambilan kereta yang telah dijual di mana-mana lokasi pilihan mereka.

Syarikat itu juga telah memperkenalkan aplikasi Mitsubishi Connect yang membolehkan pelanggan mengatur janji temu servis dengan pusat servis pilihan, mengikuti sejarah penyelanggaraan kenderaan serta mendapatkan peringatan untuk servis yang seterusnya menerusi telefon pintar.

Previous post

Mungkinkah Ini Perodua Alza Generasi Baharu?

Next post

McLaren 765LT Dapat 1,000 HP Hasil Talaan Hennessey

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *