Berita Auto

Lexus LM350 Boleh Mula Ditempah – RM1,148,000

Lexus Malaysia hari ini mengumumkan pembukaan tempahan untuk MPV ultra mewah Lexus LM. Ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu LM350, ia akan dijual pada harga RM1,148,000 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans) dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Model ini hadir sembilan bulan selepas pelancarannya di Thailand, di mana negara itu mendapat varian LM300h yang dijual pada harga 6.5 juta baht (RM874,490) bagi versi empat tempat duduk dan 5.5 juta baht (RM739,950) bagi versi tujuh tempat duduk.

Untuk pasaran Malaysia, LM350 didatangkan standard dengan lampu projektor LED dan rim aloi berukuran 18 inci dengan kemasan krom metalik yang turut digunakan secara meluas pada bahagian hadapan, sisi dan belakang MPV itu. Terdapat dua pilihan warna iaitu Black (hitam) dan White Pearl Crystal Shine (putih mutiara).

Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan konfigurasi empat tempat duduk termasuk dua kerusi ‘lounge’ dengan fungsi urutan Ottoman serta penyejuk dan pemanas. Antara kelengkapan yang disediakan termasuklah skrin infotainmen 12.3 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Mark Levinson dengan 19 pembesar suara, dan paparan HD berukuran 26 inci yang terletak di antara tempat duduk hadapan dan belakang.

Untuk keselesaan penumpang, L350 turut mempunyai rak simpanan majalah, kubikel pada kedua-dua sisi di mana penumpang boleh menyimpan beg tangan mereka serta peti sejuk mini bagi memastikan minuman kekal pada suhu yang diingini.

Varian LM350 dikuasakan oleh enjin petrol 3.5-liter V6 yang menjana 296 hp dan 361 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi automatik Direct-Shift lapan kelajuan.

Dari segi keselamatan pula, model ini mendapat Lexus Safety System+ (LSS+) yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive High-Beam System (AHS) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Di samping itu, terdapat juga tujuh beg udara termasuk dua beg udara tirai.

Pelancaran rasmi LM350 dijangka akan diadakan pada Mei 2021, manakala penyerahan akan bermula pada bulan berikutnya.

Previous post

Infiniti Sah Tarik Diri Dari F1

Next post

Sudah 75 Tahun Sejak KVW Beetle Type 1 Pertama Selepas Perang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *