Berita Auto

Proton Lancar Laman Web Kereta Terpakai (PCPO)

Proton telah melancarkan laman web Proton Certified Pre-Owned (PCPO) secara rasmi, sekaligus memudahkan pelanggannya membeli kereta terpakai.

Dengan melayari laman web ini, pelanggan boleh mendapat maklumat tentang stok dari 36 pengedar di seluruh negara serta tukar beli kenderaan mereka untuk menerima tawaran hebat bagi pembelian model Proton baru.

Pemprosesan kereta tukar beli pelanggan dengan cekap adalah kunci kepada pengekalan kadar jualan kereta baru bagi Proton. Apabila jualan syarikat naik mendadak pada 2019, bahagian Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) telah ditubuhkan bagi membina rangkaian pengedar yang boleh menjual kereta terpakai bersama kereta baru.

Setiap pengedar perlu memenuhi syarat kewangan dan praktikal, serta bersetuju mengambil langkah yang diperlukan menyediakan stok tukar beli mereka sebelum dijual. Contohnya, setiap kereta perlu menjalani pemeriksaan menyeluruh 201-mata serta diberi bateri, minyak enjin dan penapis minyak yang baru.

Keperluan lain bagi kereta PCPO adalah ia mesti berumur kurang daripada tujuh tahun dan mempunyai jarak tempuh tidak melebihi 130,000 km semasa ditukar beli. Ia juga mesti bebas daripada kerosakan disebabkan oleh banjir atau kemalangan besar.

“Pihak syarikat akan terus melancarkan produk baru tetapi pada masa sama, kita juga akan menarik perhatian mereka yang ingin membeli kereta terpakai serta menawarkan cara senang dan cepat bagi pelanggan menukar beli kereta,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tambah beliau, semua kereta PCPO diberi jaminan tambahan selama setahun bagi bahagian enjin dan kotak gear serta khidmat servis percuma yang boleh ditebus sehingga enam bulan selepas tarikh pendaftaran.

Jenama kereta lain yang ditukar beli juga akan dijual di laman web PCPO. Bagi kereta-kereta ini, jaminan tambahan tidak akan diberikan tetapi ia akan menerima pemeriksaan menyeluruh dan dibaik pulih sebelum ditawarkan kepada pelanggan.

Previous post

Anamika Talwar Dilantik Pengarah Urusan Mercedes-Benz Services Malaysia

Next post

NissanConnect Meningkatkan Pengalaman Infotainment Pelanggan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *