Berita Auto

Proton X50 Akhirnya Dilancarkan – Harga Bermula RM79,200

Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Proton X50 telah dilancarkan secara rasmi hari ini sebagai SUV kedua syarikat itu serta model kedua yang dibangunkan bersama Geely.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, X50 ditawarkan dalam empat varian iaitu 1.5T Standard (RM79,200), 1.5T Executive (RM84,800), 1.5T Premium (RM93,200) dan varian tertinggi 1.5TGDi Flagship (RM103,300).

Harga-harga tersebut adalah harga atas jalan (OTR) termasuk pengecualian cukai jualan yang ditawarkan sehingga 31 Disember 2020 di bawah skim PENJANA.

Varian Standard, Executive dan Premium menampilkan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder yang menghasilkan 150 PS dan 226 Nm, manakala varian Flagship pula hadir dengan enjin turbo 1.5-liter tiga silinder TGDi yang mempunyai 177 PS dan 255 Nm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan.

Dari segi spesifikasi, varian Standard hadir dengan:

  • empat beg udara
  • lampu LED
  • rim 17 inci
  • upholsteri fabrik
  • corong pendingin hawa belakang
  • kamera undur
  • skrin infotainmen berukuran 8 inci

Varian Executive pula mendapat tambahan:

  • enam beg udara
  • upholsteri kulit
  • lampu automatik
  • lampu kabus

Sementara itu, varian Premium menambah ciri-ciri:

  • sistem pemantauan tekanan tayar
  • rim aloi 18 inci
  • ciri pelarasan kuasa pada tempat duduk pemandu
  • skrin infotainmen 10 inci
  • kamera 360 darjah

Akhir sekali, varian Flagship dilengkapi dengan ciri-ciri tambahan seperi berikut:

  • sistem bantuan pemandu Advanced Driver Assistance Systems (ADAS)
  • bumbung suria panoramik
  • warna dua tona

Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan, pakej data lima tahun yang menyediakan 1GB data percuma setiap bulan dan pakej perlindungan insurans premium Proton. Turut ditawarkan adalah kadar faedah pinjaman serendah 2.22% menerusi Proton Commerce Sdn. Bhd.

Bukan itu sahaja, 30,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum dan pada 31 Disember 2020, juga akan menerima caj buruh percuma untuk lima kali servis.

Previous post

Konsep Qoros Milestone Meningkatkan Kekotak Ke Tahap Baharu

Next post

Rocket 900 - Hasil Tangan Terbaru Brabus

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *