Berita Auto

Porsche Taycan Catat Rekod Dunia Untuk Drift Kereta Elektrik Paling Jauh

Porsche telah menempa nama mereka dalam buku Rekod Dunia Guinness apabila berjaya melakukan aksi drift paling jauh dengan kenderaan elektrik.

Pencapaian yang menakjubkan itu dilakukan oleh jurupandu Porsche, Dennis Retera di Porsche Experience Centre (PEC) yang terletak di litar Hockenheimring.

Memandu sebuah Porsche Taycan versi pacuan roda belakang (RWD), Retera berjaya melengkapkan 210 pusingan di atas kawasan bulatan sepanjang 200 meter dalam masa 55 minit, meliputi jarak keseluruhan sejauh 42.171 km pada kelajuan purata 46 km/j.

Menurut Retera, yang juga merupakan ketua tenaga pengajar di PEC, melakukan aksi drift dengan Taycan RWD sangat senang apabila semua program kestabilan dipadamkan. Tahap cengkaman yang tidak konsisten di atas permukaan asphalt yang basah itu sedikit sebanyak menyukarkan bekas pelumba go-kart itu namun beliau berjaya mengatasinya dengan memfokuskan kepada kawalan stereng berbanding pedal pemecut.

Percubaan itu dilakukan di bawah pengawasan hakim rekod rasmi Guinness World Records iaitu Joanne Brent. Turut hadir adalah Denise Ritzmann yang memeriksa keadaan Taycan tersebut bagi pihak organisasi pengujian DEKRA.

Ritzmann bukanlah nama yang asing dalam sukan drift – beliau pernah memegang gelaran juara drift Eropah pada 2018 dan 2019. Pada hari tersebut, beliau memastikan bahawa Taycan tersebut sentiasa berada dalam keadaan drift sepanjang percubaan itu.

Bagi mereka yang tertanya-tanya, rekod drift paling jauh untuk kenderaan enjin pembakaran dalam dipegang oleh BMW M5 F90, yang melakukan aksi drift sepanjang 374.2 km dalam masa lapan jam pada 2018. Bagaimanapun, kereta tersebut terpaksa mengisi minyak beberapa kali ketika ia sedang bergerak.

Previous post

Daimler, Geely Dan Volvo Dalam Usahasama Sistem Hibrid

Next post

Toyota Camry Hybrid Eropah Dapat Facelift Kecil

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *