Berita Auto

KTM X-Bow GTX Boleh Dimiliki Pada Harga RM1.1 Juta

Percaya atau tidak, KTM X-Bow telah berada di pasaran sejak 12 tahun yang lalu. Dalam tempoh masa itu, kereta sport ringan itu telah melahirkan beberapa varian jalanan dan litar lumba. Kini, pengeluar motosikal dari Austria itu memperkenalkan satu lagi varian baharu iaitu X-Bow GTX.

Direka khas untuk kegunaan di litar lumba, X-Bow GTX menggunakan rangka monocoque karbon yang dipadankan dengan rangka keselamatan GT. Diiktiraf oleh FIA, rangka tersebut dikatakan boleh menampung berat jentera itu dalam ujian ‘rollover’.

Untuk penampilan, KTM telah mengubahsuai “kanopi jet pejuang” yang digunakan oleh X-Bow GT4 sebelum ini. Tingkap Plexiglass digantikan dengan bingkai karbon dan pintu kaca pada sebelah kiri dan kanan. Di dalam, terdapat tempat duduk karbon-kevlar Recaro dan stereng perlumbaan yang dibalut kemasan suede.

Tidak seperti GT4 yang menggunakan stereng kuasa hidraulik, GTX menggunakan stereng kuasa elektrik yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga tetapan. Tiada cermin sisi di sini. Sebaliknya, KTM menggunakan sepasang kamera dan skrin.

Menguasakan GTX adalah enjin TFSI 2.5-liter lima silinder yang mampu menghasilkan 530 hp. Enjin turbo itu dipadankan dengan transmisi berjujukan enam kelajuan dari Holinger. Ia dioperasikan menerusi penukar gear elektrik yang turut digunakan oleh jentera Le Mans.

Selain itu, jentera ini juga didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 120 liter, sistem suspensi yang diperbuat daripada keluli berkekuatan tinggi, penyerap hentak Sachs, kawalan cengkaman (lapan tetapan), ABS perlumbaan (10 tetapan) serta kawalan motor dan pengelog data MoTec.

Berminat? Bersedialah untuk membayar 230,000 EUR (RM1.1 juta) seunit.

Previous post

Toyota Mirai Berkuasa Hidrogen Dipilih Sebagai "Popemobile" Baharu!

Next post

SSC Tuatara Adalah Kereta Produksi Terpantas Dunia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *