Motosikal / Lain Lain Roda

BMW R18 First Edition Tiba di Malaysia

Seperti yang dijanjikan tiga bulan lalu, BMW Motorrad Malaysia akhirnya melancarkan BMW R18 First Edition untuk pasaran tempatan, sekaligus mengakhiri penantian peminat model cruiser itu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, hanya 18 unit akan dibawa masuk dan setiap satu dijual pada harga RM149,500 termasuk waranti dan bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

R18 First Edition lebih menonjol berbanding model biasa dengan gubahan jalur halus berlatarkan warna hitam berkilat serta logo First Edition yang eksklusif. Ia juga mempunyai kemasan krom pada bar hendal, tuil penukar gear, pelitup hendal, pelitup kepala silinder, pelitup engkol, serta saluran udara.

Kelengkapan standard lain termasuklah lampu utama LED, lampu belakang dan brek LED, pelitup enjin aluminium yang dihasilkan dengan kerjasama Roland Sands Design, speedometer multi-display, Keyless Ride dan tangki minyak berkapasiti 16 liter yang mempunyai bentuk seperti titisan air.

Menggerakkan R18 adalah enjin boxer dua silinder bersesaran 1,802 cc yang mampu menjana 91 hp pada 4,750 rpm dan 158 Nm pada 3,000 rpm, cukup untuk membawa motosikal ini mencapai kelajuan melebihi 180 km/j. Menurut BMW, ini merupakan enjin boxer terbesar yang pernah dihasilkannya.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dengan redaman yang bergantung kepada pergerakan suspensi, serta lengan ayun dengan penyerap hentakan sentral. Brek cakera 300 mm berkembar dengan angkup tetap yang terdiri daripada empat piston juga ditawarkan sebagai standard.

Sementara itu, ciri elektronik yang disertakan adalah mod tunggangan Rock, Roll dan Rain, Kawalan Stabiliti Automatik (ASC), Kawalan Tork Seretan (MSR) dan ABS Integral.

Unit pandu uji BMW R 18 First Edition bakal disediakan di bilik pameran BMW Motorrad Heritage yang terpilih iaitu Auto Bavaria Ara Damansara, Chear Motorrad Puchong dan El Chong Motor Sungai Jawi.

Previous post

Ford RS200 Evolution Untuk Dijual

Next post

Jangan Tempah Proton X50 Dengan Ejen Atau Pihak Ketiga!

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *