Berita Auto

Proton X70 Facelift Masuk Pasaran Brunei

Tujuh bulan selepas Proton X70 facelift dilancarkan di Malaysia, kini tiba giliran model itu memasuki pasaran Brunei menerusi pengedar rasminya di negara itu iaitu PAD Motors Sdn Bhd.

Versi yang dipasang secara tempatan (CKD) di Tanjung Malim ini hadir dengan beberapa penambahbaikan. Antaranya adalah transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan bagi menggantikan transmisi automatik enam kelajuan yang digunakan sebelum ini. Menggunakan teknologi ‘shift-by-wire’, ia menjanjikan penjimatan bahan api sebanyak 13% dan penukaran gear yang lebih pantas.

Dengan kehadiran kotak gear baharu tersebut, jumlah tork yang dihasilkan oleh enjin turbo 1.8-liter itu meningkat dari 285 Nm kepada 300 Nm. Hasilnya, X70 kini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 9.5 saat, iaitu 1 saat lebih pantas berbanding sebelum ini.

Selain naik taraf mekanikal, model ini turut mendapat beberapa kelengkapan baharu seperti kerusi hadapan berventilasi, but belakang elektrik dengan sensor kaki dan tempat duduk belakang boleh lipat. Ia juga boleh didapati dalam dua warna baharu iaitu Ruby Red dan Space Grey.

Untuk pasaran Brunei, X70 facelift ditawarkan dalam varian Executive dan Premium dengan harga masing-masing bermula BND$36,000 dan BND$39,000, atau RM109,465 dan RM118,590, mengikut kadar pertukaran semasa.

Untuk perbandingan, X70 pasaran Malaysia ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Premium 2WD dan Premium X 2WD, dengan harga bermula dari RM94,800 hingga RM122,800.

Ini merupakan model Proton keempat yang dilancarkan oleh PAD Motors tahun ini selepas Iriz, Saga dan Persona pada Januari lalu.

Previous post

Produksi Toyota GR Yaris Telah Bermula

Next post

Xpeng P7 Tawar Jarak Pemanduan Sejauh 706 km

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *