Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Xpeng P7 Tawar Jarak Pemanduan Sejauh 706 km

Nampaknya, bilangan pengeluar kenderaan elektrik dari China telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebekalangan ini, didorong oleh pelbagai subsidi dan insentif oleh kerajaan negara itu untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV). Menurut Centre for Strategic & International Studies (CSIS), pada masa ini terdapat lebih 450 pengeluar EV di China.

Model yang kami tampilkan ini dihasilkan oleh satu lagi ‘startup’ dari China yang bakal memberi saingan kepada gergasi industri EV seperti BAIC, NIO dan BYD, iaitu Xpeng. Diasaskan pada 2014, Xpeng atau Xiaopeng Motors berpengkalan di Guangzhou namun syarikat itu juga mempunyai pejabat di Mountain View, California. Walaupun baru enam tahun memulakan perniagaan, ia sudah mempunyai dua model dalam barisan model mereka iaitu G3 dan P7.

Dilancarkan di China pada Disember 2018, G3 merupakan crossover elektrik dengan reka bentuk yang tidak jauh berbeza dengan mana-mana crossover dan SUV keluaran negara itu. Lain pula ceritanya dengan P7. Sedan itu kelihatan lebih menarik dengan permukaan yang kemas dan garis bumbung yang rendah. Ia memasuki pasaran tempatan hanya dua bulan lalu dengan pilihan tiga trim (Standard, Smart dan Premium) dan lapan konfigurasi seperti berikut:

  • Standard RWD Long Range
  • Smart RWD Long Range
  • Premium RWD Long Range
  • Standard RWD Super-Long Range
  • Smart RWD Super-Long Range
  • Premium RWD Super-Long Range
  • Smart 4WD High Performance
  • Premium 4WD High Performance

Mungkin sebagai sebahagian daripada strategi pemasaran, Xpeng baru-baru ini menjemput pelumba veteran Darryl O’Young untuk memandu uji model tersebut. Dalam ciapan yang dikirim pada 4 September, syarikat itu berkata, “Pengendalian, pecutan, prestasi, ketersambungan, parkir automatik, teknologi AI semuanya diuji.” Bunyi macam menarik. Tetapi apa yang kita tahu tentang sedan elektrik ini?

Digelar sebagai “sedan pintar jarak jauh”, P7 boleh dipesan sama ada dengan bateri 70.8 kWj yang memberikan jarak pemanduan sehingga 568 km atau bateri 80.9 kWj dengan jarak pemanduan sehingga 706 km dengan satu cas penuh. Bercakap tentang pengecasan, versi 70.8 kWj mengambil masa 28 minit untuk cas dari 30% hingga 80% menerusi pengecas pantas manakala bateri yang berkapasiti tinggi itu memerlukan 31 minit.

Dari segi prestasi, semua versi pacuan roda belakang (RWD) didatangkan dengan sebuah motor elektrik yang menjana 196 kW dan 390 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum melebihi 170 km/j. Versi 4WD High Performance, yang hanya boleh didapati dengan bateri 80.9 kWj, mendapat sebuah lagi motor elektrik pada gandard untuk kuasa keseluruhan berjumlah 316 kW dan 655 Nm. Ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.3 saat dengan kelajuan maksimum yang sama.

Dibina di atas Smart Electric Platform Architecture (SEPA), P7 menampilkan sistem pemanduan autonomi yang dikatakan antara yang tercanggih untuk kenderaan produksi di China. Ia dikuasakan oleh cip NVIDIA DRIVE Xavier yang membolehkan ia mengoperasikan sistem XPILOT 3.0 dan XPILOT 2.0 secara serentak.

Sedan ini juga dilengkapi dengan beberapa kamera pada bahagian hadapan, sisi dan belakang yang boleh menghasilkan sudut pandangan 180 darjah bagi membolehkan ia mengikut selekoh tajam dan mengenal pasti kenderan yang masuk ke lorong. Terdapat sensor gelombang radar yang boleh mengesan jarak ke hadapan sehingga 200 meter. Sistem ini memberikan ketepatan dan sudut pandangan yang jelas dengan kebolehannya untuk menembusi hujan, kabus dan jerebu.

Canggih memang canggih, namun harganya pasti mahal. Tidak juga. Di China, harga P7 bermula dari 229,900 RMB (RM139,420 mengikut kadar pertukaran semasa) untuk versi Standard Long Range hingga 349,900 RMB (untuk RM212,190) untuk varian Premium 4WD High Performance selepas subsidi. Untuk perbandingan, Tesla Model 3 dijual pada harga bermula dari RM323,800 (RM196,360).

Previous post

Proton X70 Facelift Masuk Pasaran Brunei

Next post

VIDEO: Remaja 16 Tahun Catat Rekod Slalom Terpantas

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *