Berita Auto

Lexus LS Facelift Hadir Dengan Tahap Keselesaan Lebih Tinggi

Setelah tiga tahun berada di pasaran, Lexus LS kini tampil dengan versi facelift yang menyaksikannya menerima pelbagai pembaharuan bagi menjadikannya lebih selesa.

Bagi tujuan itu, jurutera Lexus telah mereka semula solenoid sistem suspensi adaptif bagi mengurangkan daya redaman, manakala cagak enjin baharu pula mengurangkan kadar gegaran yang meresap ke dalam kabin.

Bukan itu sahaja, penggunaan mata jahitan yang lebih dalam dan pad urethane pada tempat duduk juga dikatakan dapat menyerap geteran sekaligus memberikan lebih keselesaan kepada penumpang.

Dari segi enjin, varian hibrid iaitu LS 500h kini mendapat bantuan bateri yang lebih tinggi semasa melakukan pecutan. Lexus turut mengurangkan pusingan maksimum enjin (rpm) semasa kereta mula bergerak bagi menjadikan ia lebih senyap.

Sementara itu, kuasa kilas pada varian LS 500 telah diperkuatkan bagi mendapatkan pecutan yang lebih responsif, manakala julat pecutan yang lebih luas bagi setiap gear secara tidak langsung mengurangkan downshift.

Menurut Lexus, ciri Active Noise Control dan Engine Sound Enhancement pada kedua-dua enjin tersebut telah ditala semula supaya pemanduan lebih senyap.

Dari segi penampilan, LS facelift tampil dengan lampu yang lebih nipis manakala kemasan di dalam gril kini berwarna hitam metalik. Kemasan krom pada lampu belakang digantikan dengan kemasan hitam piano. Model ini juga boleh didapati dalam warna perak baharu iaitu “Gin-ei Luster”.

Di dalam, antara pembaharuan yang ada termasuklah butang kawalan pada stereng dan konsol tengah berwarna hitam dan penggunaan kemasan “Nishijin & Haku”. Sistem infotainmen menampilkan paparan sentuh baharu dan ianya serasi dengan SmartDeviceLink, Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah cermin pandang belakang digital dengan paparan yang lebih besar.

Previous post

Daimler Akan Pindahkan Pengeluaran Smart Car Dari Perancis Ke China

Next post

Alat Ganti Toyota 2000GT Akan Dihasilkan Semula

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *