Berita Auto

Semua Wakil Pengedar Honda Beroperasi Semula

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa semua wakil pengedarnya telah kembali beroperasi sejak 13 Mei, setelah hampir dua bulan ditutup akibat pandemik COVID-19.

Bagi memastikan keselamatan kakitangan dan pelanggan, syarikat itu menerapkan tindakan pencegahan termasuk saringan suhu, penggunaan cecair pencuci tangan dan kawalan orang ramai.

Mereka yang mempunyai suhu badan melebihi 37.5°C dan menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan sesak nafas akan dinasihatkan untuk meninggalkan premis untuk segera mendapatkan rawatan perubatan.

Pelanggan dan perunding jualan perlu memakai topeng muka sebelum melakukan perbincangan. Menurut Honda Malaysia, semua kenderaan bilik pameran dan unit pandu uji akan melalui proses pembasmian kuman secara kerap.

Bukan itu sahaja, semasa sesi penerangan di bilik pameran dan pandu uji, perunding jualan akan duduk di belakang pada setiap masa bagi mengekalkan jarak sosial.

Pelanggan yang ingin menghantar kenderaan mereka untuk diservis perlu membuat janji temu terlebih dahulu bagi memastikan urusan berjalan lancar.

Selain itu, mereka yang ingin menempah kenderaan perlu membuat pembayaran secara dalam talian ke akaun wakil pengedar masing-masing bagi mengurangkan kontak. Kehadiran pelanggan juga akan dihadkan kepada seorang sahaja semasa proses pengambilan kereta baharu.

Langkah-langkah pencegahan lain yang diambil termasuk penutupan kafe dan ruang kanak-kanak, serta penyediaan stesen cecair pencuci tangan di bilik pameran, ruang rehat, kaunter dan tandas.

Previous post

Motor Image Buka Semula Semua Pusat Servis dan Bilik Pameran

Next post

Renault Captur Kini Dengan Pelan Langganan Percubaan 1 Bulan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *