Berita Auto

Proton X70 2020 Dapat Sistem Pembersih Udara Pintar Dengan Penapis N95

Proton hari ini mengesahkan bahawa X70 2020 akan didatangkan standard dengan Sistem Pembersih Udara Pintar PROTON (P-IAPS). Sistem ini menggabungkan penggunaan penapis kabin N95 dan sistem pembersih udara (air purifier) bagi tujuan meningkatkan kualiti udara di dalam kabin.

Penapis kabin N95 baharu itu mampu menyingkirkan 95% partikel bersaiz melebihi 0.3 mikron serta turut menapis 98% debu PM2.5. Ia dikatakan berkesan menghalang kemasukan partikel asap, debu, bakteria dan bahan cemar lain.

Sementara itu, sistem Penapis Udara Berzarah Kecekapan Tinggi (HEPA) pula mampu menyingkirkan 99.97% partikel yang melebihi 0.3 mikron. Bahan karbon aktifnya pula menghilangkan bau busuk, formaldehyde serta menyerap sebarang partikel berpunca dari asap.

Menurut Proton, gabungan ini akan bertindak menghalang udara yang tercemar daripada memasuki kabin kereta serta memberikan tahap perlindungan yang tinggi untuk menghasilkan persekitaran yang bersih dan lebih sihat.

“Proton sentiasa berusaha untuk menambahbaik produk syarikat. Langkah memperkenalkan penapis kabin N95 ini dilihat relevan dengan keadaan persekitaran ketika ini dan dengan meningkatkan kualiti udara di dalam kabin kereta, kami berharap ia dapat memberikan pengalaman yang lebih selesa tanpa pencemaran udara untuk para pelanggan kami,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Tambah beliau lagi, barisan pereka dan jurutera syarikat sedang dalam usaha untuk turut menawarkan penapis kabin N95 ini pada model-model yang lain.

Pemilik X70 sedia ada boleh menukar dan menambahbaik penapis yang digunakan kepada penapis kabin N95 pada harga RM79, tidak termasuk kos penukaran.

Bermula 13 Mei ini, pemilik boleh melakukan janji temu menerusi laman web rasmi Proton atau hubungi mana-mana pusat servis Proton terdekat. Diskaun sebanyak 15% akan diberikan kepada pemilik yang menaik taraf kepada penapis kabin N95 dari 18 Mei hingga 18 Ogos 2020.

Previous post

Alpina D3 S Pamer Kehebatan Kuasa Diesel

Next post

Sebenarnya Ada Hanya SATU Mercedes-Benz 500E Hitam

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *