Berita Auto

Alpina D3 S Pamer Kehebatan Kuasa Diesel

Alpina telah memperkenalkan produk terbarunya iaitu D3 S. Secara asasnya, ia merupakan versi diesel kepada B3 yang diperkenalkan pada akhir tahun lalu.

Menggunakan BMW M340d sebagai asas, D3 S dikuasakan oleh enjin turbodiesel 3.0-liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 355 hp dan 730 Nm dengan bantuan intercooler yang lebih besar dan pemetaan semula ECU.

Untuk perbandingan, M340d versi standard mempunyai 340 hp dan 700 Nm yang dibekalkan oleh enjin yang sama.

Menurut Alpina, D3 S versi sedan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat dengan kelajuan maksimum 274 km/j. Versi Touring pula memerlukan 4.8 saat dan boleh memecut sehingga 270 km/j.

Selaras dengan peningkatan kuasanya, Alpina turut memperkukuhkan unit transmisi jentera ini dan menggunakan sistem brek daripada B5 BiTurbo yang merangkumi cakera 395 mm di hadapan dan 345 mm di belakang.

Turut disertakan adalah LSD elektronik pada gandar belakang dan sistem suspensi elektronik Alpina Sport dengan gegelung keluaran Eibach.

Di Jerman, D3 S ditawarkan pada harga €70,500 (RM330,500) bagi sedan dan €71,900 (RM337,065) bagi Touring.

Previous post

Toyota Prius Sambut Ulang Tahun ke-20

Next post

Proton X70 2020 Dapat Sistem Pembersih Udara Pintar Dengan Penapis N95

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *