Berita Auto

Hyundai i20 Tampil Dengan Rekaan Lebih Sporty

Hyundai i20 serba baharu akhirnya diperkenalkan secara rasmi dengan rekaan lebih segar serta pakej keselamatan tercanggih dalam kelasnya. Ia bakal membuat kemunculan di Geneva Motor Show pada awal Mac ini.

Model generasi ketiga ini merupakan model Hyundai pertama di Eropah yang menampilkan bahasa reka bentuk ‘Sensuous Sportiness’ yang memberikan imej sporty menerusi reka bentuk bampar dan jeriji baharu.

Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, i20 kini mempunyai bumbung yang lebih rendah (-24 mm) serta badan yang lebih lebar (+30 mm) dan panjang (+5 mm).

Bukan itu sahaja, jarak roda turut bertambah sebanyak 10 mm, sekaligus menghasilkan ruang yang lebih luas untuk penumpang belakang. Ini turut meningkatkan kapasiti ruang but sebanyak 25 liter kepada 351 liter.

Sementara itu, ruang kabin i20 kini menampilkan pelbagai teknologi dan kelengkapan terbaru termasuk skrin sentuh sistem infotainmen berukuran 10.25 inci dan kluster instrumen digital dalam saiz yang sama.

Antara kelengkapan yang ditawarkan termasuklah Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles, port USB untuk penumpang belakang, sistem audio premium Bose dengan lapan pembesar suara dan subwoofer serta servis Bluelink.

Bagi aspek keselamatan, i20 dilengkapi dengan Hyundai SmartSense yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Navigation-based Smart Cruise Control (NSCC)
  • Intelligent Speed Limit Assist (ISLA)
  • Lane Following Assist (LFA)
  • Blind-spot Collision-avoidance Assist Warning (BCA)
  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
  • Leading Vehicle Departure Alert (LDVA)
  • Rear Cross-traffic Collision Assist (RCCA)
  • Parking Collision-avoidance Assist – Reverse (PCA-R)
  • Parking Assist (PA)
  • Lane Keep Assist (LKA)
  • Driver Attention Warning (DAW)
  • High Beam Assist (HBA)

Turut disertakan adalah eCall, sebuah sistem yang membolehkan penumpang menghubungi perkhidmatan kecemasan dengan hanya menekan satu butang. Sistem ini juga akan diaktifkan secara automatik jika beg udara meletus.

Untuk enjin pula, i20 ditawarkan dengan enjin 1.0 T-GDi dalam versi 100 PS dan 120 PS, dengan padanan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan (7DCT) atau manual enam kelajuan.

Buat pertama kalinya, hatchback ini turut ditawarkan dengan tren kuasa mild hybrid 48v, juga dalam versi 100 PS dan 120 PS. Sistem ini dipadankan dengan transmisi 7DCT atau Intelligent Manual Transmission (iMT) enam kelajuan.

Satu lagi pilihan adalah enjin MPi 1.2-liter empat silinder berkuasa 84 PS yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.

Previous post

Tiada Pelupusan Kereta Mandatori Dalam NAP 2020

Next post

Renault Tawar Tempoh Langganan Percubaan Selama 7 Hari Untuk Captur

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *