Berita Auto

Honda Perkenal Civic Type R Limited Edition dan Sport Line

Setelah memperkenalkan Civic Type R facelift pada bulan lalu, Honda kini memperkenalkan dua varian baharu hot hatch itu untuk pasaran Eropah.

Yang pertama adalah Civic Type R Sport Line, yang mengekalkan aspek sporty model itu namun dengan penggayaan yang kurang agresif dan pemanduan yang lebih selesa.

Perubahan paling ketara pada varian ini adalah ia tidak lagi mempunyai spoiler belakang yang besar yang menjadikan Civic Type R terkenal. Sebaliknya, Honda menggunakan ‘low-deck’ spoiler yang lebih kecil.

Selain itu, jalur berwarna merah di sekeliling badan kini digantikan dengan jalur kelabu. Antara warna yang ditawarkan untuk varian ini adalah warna Racing Blue baharu.

Dari segi kelengkapan, Civic Type R Sport Line hadir dengan rim aloi 19 inci yang dibalut tayar Michelin Pilot Sport 4S dengan ‘sidewall’ yang lebih lembut. Penambahan bahan penebat bunyi pada bahagian but dan ‘tailgate’ pula meningkatkan tahap NVH.

Tidak seperti model standard, Sport Line didatangkan dengan tempat duduk berwarna hitam. Bagaimanapun, jahitan merah dikekalkan agar ia tampil sporty.

Turut disertakan adalah sistem infotainmen dengan skrin tujuh inci yang menyokong ciri-ciri seperti radio DAB, Apple CarPlay dan Android Auto.

Sementara itu, pelanggan yang mahukan jentera yang lebih agresif boleh mendapatkan Civic Type R Limited Edition. Bagaimanapun, pengeluaran varian ini terhad kepada 100 unit dan ia hanya akan dijual di Eropah.

Antara kelengkapan yang disertakan adalah rim aloi BBS berukuran 20 inci dan tayar Michelin Cup 2 yang direka untuk pemanduan litar. Prestasi rim dan tayar tersebut dioptimumkan lagi menerusi peredam dan stereng yang telah ditala semula.

Bagi mencerminkan sifatnya yang lebih ganas, Civic Type R Limited Edition didatangkan dalam warna Sunlight Yellow bersama dengan lencana ‘CIVIC’ dalam kemasan krom gelap di belakang. Bumbung, cermin sisi dan saluran udara bonet pula diberikan warna hitam berkilat untuk penampilan yang lebih agresif.

Di dalam, terdapat tempat duduk ‘bucket’ berwarna merah dan stereng yang dibalut kemasan Alcantara. Selain tombol gear berbentuk ‘teardrop’, varian ini turut mendapat plak nombor siri yang meningkatkan lagi keeksklusifannya.

Bagaimanapun, varian ini tidak mempunyai sistem infotainmen dan pendingin hawa. Bahan penebat bunyi pada bumbung, panel belakang, bampar dan papan pemuka turut dikurangkan. Menurut Honda, mereka berjaya mengurangkan berat sebanyak 47 kg dengan cara ini.

Kuasa bagaimanapun tidak berubah. Enjin VTEC Turbo 2.0-liter itu masih menghasilkan 320 PS pada 6,500 rpm dan 400 Nm dari 2,500 hingga 4,500 rpm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.

Previous post

Toyota Supra Dengan 382bhp Baru Dilancar

Next post

MINI Countryman Blackheath Edition Untuk Peminat Warna Hitam

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *