Berita Auto

MINI Countryman Blackheath Edition Untuk Peminat Warna Hitam

MINI Malaysia telah melancarkan Countryman Blackheath Edition yang hadir dalam warna hitam yang diilhamkan daripada rimba gelap Blackheath di Tenggara London, United Kingdom. Model ini terhad kepada 48 unit sahaja.

Model ini didatangkan dalam warna eksklusif Midnight Black dengan padanan jaluran bonet Brushed Aluminium matte serta trim Piano Black daripada MINI Accessories pada lampu hadapan dan belakang, jeriji, pemegang pintu, logo dan lencana ‘Countryman’ pada tailgate.

Turut disertakan adalah kit aerodinamik John Cooper Works (JCW) dan rim JCW Circuit Spoke berukuran 19 inci yang dibalut tayar ‘run flat’.

Di dalam, Countryman Blackheath Edition didatangkan dengan upholsteri kulit Leather Cross Punch berwarna hitam karbon dan material bumbung Anthracite.

Suasana ruang kabin diserlahkan lagi menerusi trim MINI Yours Illuminated dalam warna Piano Black, pencahayaan ambien dengan 12 pilihan warna serta sistem audio Harman Kardon berkapasiti 360 watt dengan 12 pembesar suara dan DSP Amplifier.

Model ini juga mendapat sistem navigasi dengan skrin berukuran 8.8 inci yang boleh dioperasikan melalui skrin sentuh, konsol tengah atau kawalan suara. Ia juga menyokong teknologi SIM 4G terintegrasi yang membolehkan fungsi Panggilan Kecemasan Pintar dan MINI TeleServices.

Hadir dalam varian Cooper S, Countryman Blackheath Edition dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo 2.0-liter yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm.

Dengan transmisi Sport dwi-klac tujuh kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.

Model ini dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 5 Tahun oleh MINI Malaysia, berserta pelbagai perkhidmatan komprehensif yang merangkumi Bantuan Kemalangan 24- jam, 365 hari setahun; Talian Bantuan dan Kecemasan; Servis Penundaan Percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman); Kenderaan Ganti; Mobiliti Lancar; Akomodasi; Solusi Servis Mobiliti serta servis Repatriasi.

Didatangkan dengan Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma, Countryman Blackheath Edition boleh didapati pada harga RM253,888 (atas jalan bagi pendaftaran peribadi, tanpa insurans).

Previous post

Honda Perkenal Civic Type R Limited Edition dan Sport Line

Next post

Harga Kereta Honda CKD Meningkat Hingga 9%

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *