Berita Auto

Terbang Mewah Dengan ACH130 Aston Martin Edition

Setelah memperkenalkan SUV pertama mereka, DBX, di Los Angeles pada November tahun lalu, Aston Martin kini nampaknya ingin menceburi segmen yang lebih eksklusif iaitu helikopter.

ACH130 Aston Martin Edition

Memperkenalkan ACH130 Aston Martin Edition, helikopter pertama yang menggunakan nama pengeluar kereta mewah dari Britain itu. Tetapi jangan salah sangka kerana ia sebenarnya dihasilkan oleh pengeluar helikopter terkenal iaitu Airbus Corporate Helicopters (ACH).

Apa yang disumbangkan oleh Aston Martin pada projek ini adalah kemasan luaran dan dalaman yang mewah yang boleh membuatkan penumpang seakan-akan berada di dalam sebuah supercar.

Untuk bahagian luaran, pelanggan boleh skema warna Sterling Green dengan padanan Jet Black dan Skyfall Silver, atau tiga warna lain iaitu Xenon Grey, Arizona dan Ultramarine Black.

Di dalam, kabin berinspirasikan automotif itu menampilkan kemasan ultra-suede Pure Black serta upholsteri kulit yang boleh didapati dalam warna Oxford Tan, Pure Black, Cormorant atau Ivory.

Bahagian belakang kerusi hadapan menampilkan perincian brogue yang sama seperti yang terdapat pada DB11, manakala bahagian pintu juga dihiasi dengan kemasan kulit.

Seperti yang anda boleh lihat, terdapat cetakan logo Aston Martin pada setiap perehat kepala.

Setiap unit didatangkan dengan plak khas pada panel instrumen, nombor siri serta nama pemilik, jika mereka mahu.

Harga tidak dinyatakan tetapi sudah tentu ia lebih mahal berbanding ACH130 biasa. Ia boleh dipesan sekarang dengan penghantaran dijangka bermula suku pertama tahun ini.

Previous post

Tawaran Menarik SDAC-Ford Sempena Tahun Baru Cina

Next post

Suzuki Jimny Terima Sentuhan Vintaj DAMD

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *