Berita Auto

Nissan Sentra 2020 Muncul di Los Angeles Auto Show

Siapa sangka, Sentra adalah model Nissan paling laku di Amerika Syarikat dengan jualan mencecah 6 juta unit sejak ia diperkenalkan pada 1982.

Nissan Sentra 2020

Kini, sedan segmen C itu sudah pun memasuki generasi yang kelapan dan model baharu itu baru sahaja diperkenalkan secara rasmi di Los Angeles Auto Show.

Dibina menggunakan platform baharu, Sentra (turut dikenali Sylphy) kini menampilkan bahasa reka bentuk global Nissan menerusi gril V-motion, lampu LED yang nipis dan efek bumbung terapung.

Turut diperkenalkan adalah rekaan rim yang terkini serta beberapa pilihan warna baharu yang lebih segar, termasuk tiga warna dua-tona.

Menurut Nissan, penggunaan platform baharu tersebut menjadikan Sentra dua inci lebih rendah dan dua inci lebar berbanding model terdahulu.

Ruang kabin turut diberi peningkatan menerusi rekaan papan pemuka baharu serta penggunaan bahan-bahan yang lebih premium dan berkualiti.

Antara ciri yang ditawarkan termasuklah kerusi Zero Gravity, Intelligent Around View Monitor serta skrin sentuh lapan inci yang menyediakan akses kepada sistem infotainmen Nissan Connect, Apple CarPlay dan Android Auto.

Sentra diperkenalkan dengan enjin 2.0-liter empat silinder baharu yang menghasilkan 149 hp dan 198 Nm, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus dan 16 peratus berbanding enjin 1.8-liter pada model sebelum ini.

Selain itu, prestasi pengendalian dipertingkatkan menerusi penggunaan sistem suspensi bebas pada bahagian belakang dan sistem stereng kuasa elektrik.

Dari segi keselamatan, Sentra dilengkapi dengan Nissan Safety Shield 360 yang merangkumi sitem-sistem bantuan pemandu yang canggih seperti Automatic Emergency Braking with Pedestrian Detection, Rear Automatic Braking dan High Beam Assist.

Turut disertakan pada semua varian adalah 10 beg udara, Rear Door Alert, Intelligent Forward Collision Warning dan Intelligent Driver Alertness.

Previous post

Lexus LC 500 Convertible Masuk Pasaran Tahun Hadapan

Next post

Penghantaran Unit Pertama Trak Tugas Ringan Kuzer Oleh UD Trucks dan TCIE

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *