Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Penghantaran Unit Pertama Trak Tugas Ringan Kuzer Oleh UD Trucks dan TCIE

Penyerahan tersebut menggambarkan potensi UD Trucks untuk terus berkembang dalam segmen trak tugas ringan di Malaysia

UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE) baru-baru ini menyerahkan unit pertama trak tugas ringan UD Kuzer kepada syarikat pengangkutan tempatan, Jun Hong Trading Sdn Bhd. Penyerahan itu membuktikan strategi UD Trucks untuk terus mengukuhkan kehadirannya dalam segmen trak tugas ringan di Malaysia.

UD Kuzer serba baharu pernah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu dan tempahan mula dibuka beberapa bulan kemudian. UD Kuzer ialah trak tugas terkini dalam rangkaian trak UD yang ditawarkan di Malaysia, sekali gus melengkapkan model trak tugas berat dan tugas sederhana yang sedia ada iaitu UD Quester dan UD Croner.

Pengarah Urusan UD Trucks Hub Malaysia & Oceania, Steve Hedouin berkata, “Penyerahan unit pertama UD Kuzer menandakan kerjasama yang semakin erat di antara UD Trucks, TCIE dan pelanggan kami, selain membuktikan perkembangan perniagaan kami yang cukup memberangsangkan. 

“UD Kuzer ialah trak tugas ringan yang dibina bagi memberi kelebihan dan ia bersedia untuk apa jua tugasan dan cabaran yang dihadapi oleh pelanggan kami. Penyerahan ini nyata mengukuhkan lagi kehadiran jenama dan meluaskan keupayaan kami dalam menawarkan trak berkualiti demi memenuhi keperluan pelanggan. UD Kuzer sememangnya rakan yang ideal untuk penyelesaian logistik pintar!”

Ketua Pegawai Operasi TCIE, Jaclyn Loy berkata, “UD Kuzer dapat memenuhi pelbagai keperluan para pelanggan kami. Ia direka sebagai rakan yang sempurna untuk tugas penghantaran harian di kawasan bandar kerana ia  memenuhi segala keperluan yang diperlukan oleh pelanggan, dari segi keselamatan, mudah dikendalikan hinggalah penjimatan bahan api. UD Kuzer sememangnya sebuah trak tugas ringan yang memiliki keupayaan dan penjimatan terbaik, terima kasih kepada rangkaian kuasa yang telah dioptimumkan.”

“Kami sangat gembira dengan penyerahan trak ini kepada pelanggan yang sangat kami hargai iaitu Jun Hong Trading Sdn. Bhd. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka atas sokongan dan menjadi pelanggan setia selama lebih 15 tahun. Kami tidak sabar untuk menyerahkan lebih banyak UD Kuzer kepada para pelanggan di Malaysia pada masa akan datang!”

UD Kuzer direka untuk penghantaran di bandar-bandar yang sibuk kerana ia mudah dikendalikan, mempunyai chasis kukuh, kabin luas dan pemanduan lebih selesa. Teknologi enjin termajunya menawarkan prestasi dan kuasa tork yang tinggi. Tambahan, ia tahan lasak, boleh dipercayai, berkuasa, selesa dan menjimatkan penggunaan bahan api. Trak ini juga mempunyai sistem Fuel Coach pada masa sebenar (real time) yang memberi panduan kepada pemandu untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api. Manakala UD Telematics pula hadir sebagai ciri pilihan yang berfungsi memantau dan menambah baik prestasi trak dan pemandu.

Ditubuhkan lebih 20 tahun lalu, Jun Hong Trading Sdn. Bhd. merupakan pakar pembekal barangan umum seperti produk-produk isi rumah dan taman, penjagaan kereta, aksesori, pelbagai peralatan bertukang serta produk gaya hidup. Syarikat akan menggunakan UD Kuzer baharu ini untuk tujuan penghantaran ke pasar raya hiper serta gedung membeli-belah seperti Mydin, Aeon/Aeon Big, Giant and TF Value Mart.

Pengarah Eksekutif Jun Hong Trading Sdn. Bhd., Chong Fook Loy berkata, “Kami berbangga kerana menjadi pelanggan pertama di Malaysia yang menerima UD Kuzer baharu. Keputusan kami untuk membelinya didorong oleh pengalaman positif kami dengan model-model UD terdahulu, di samping perkhidmatan selepas jualan yang ekstensif dan responsif. Aspek ini cukup penting kerana trak-trak kami menghantar barang ke seluruh Semenanjung Malaysia. Maklum balas positif daripada para pemandu kami mengenai kuasa dan ruang kabin UD Kuzer yang luas juga menggalakkan kami untuk menimbang dan membeli lebih banyak unit trak UD pada masa depan.”

“Fokus utama UD Trucks adalah untuk memberi lebih kejayaan kepada pelanggan dengan usaha tambahan dan jarak panjang. Kami sentiasa bersemangat untuk meneruskan warisan penghasilan trak yang diperlukan oleh dunia pada hari ini, kerana kami tahu bahawa para pelanggan sentiasa mahukan trak yang boleh menawarkan logistik pintar dan efisien,” kata Hedouin.

Di Malaysia, para pelanggan UD Trucks disokong oleh rangkaian 43 pusat servis dan pengedar TCIE yang ekstensif di seluruh negara. Ia menawarkan perkhidmatan UD Extra Mile Support yang terdiri daripada Servis dan Alat Ganti Tulen UD, Latihan Pemandu UD, Perkhidmatan UD Telematics dan UD Trust Service Agreements.

Previous post

Nissan Sentra 2020 Muncul di Los Angeles Auto Show

Next post

Ford Mustang Elektrik Dilancarkan Di SEMA

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *