Berita Auto

Lexus LC 500 Convertible Masuk Pasaran Tahun Hadapan

Varian terbaru dalam keluarga Lexus LC iaitu LC 500 Convertible telah didedahkan secara rasmi. Model ini akan membuat penampilan sulungnya pada acara Los Angeles Auto Show yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Lexus LC 500 Convertible

Sekilas pandang, LC 500 Convertible mempunyai reka bentuk luaran yang 100 peratus sama dengan versi Coupe namun terdapat beberapa perubahan yang dilakukan bagi menjadikan model bumbung terbuka ini lebih menonjol.

Sebagai contoh, but belakang kini lebih tinggi dan lebar bagi membuatkan bahagian belakang kereta ini kelihatan lebih menarik. Lampu brek ketiga pula diintegrasikan pada penutup but, tidak seperti coupe di mana ia terletak pada cermin belakang.

Bumbung ‘soft top’ empat lapis yang digunakan direka untuk mengekalkan profil sisi model ini tanpa mendedahkan bingkai sokongannya. Bahan yang digunakan untuk membuat bumbung ini dipilih khas bagi tujuan mengurangkan kedutan dan menebat bunyi.

Ditawarkan dalam warna hitam atau kuning air (beige), bumbung ini boleh dibuka atau ditutup ketika kereta bergerak pada kelajuan sehingga 50 km/j. Ia mengambil masa 15 saat untuk buka dan 16 saat untuk tutup.

Bagi mengekalkan keselesaan penumpang apabila bumbung dibuka, Lexus menggunakan pemantul angin polikarbonat dan juga serta teknologi Active Noise Control (ANC) yang menggunakan teknik serapan untuk menghalang bunyi dari meresap ke dalam kabin.

Seperti versi coupe, LC 500 Convertible hadir dengan enjin NA 5.0-liter V8 yang menjana 471 hp pada 7,100 rpm dan 540 Nm pada 4,800 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi automatik 10 kelajuan yang memacu roda belakang.

Diafragma dan paip digunakan untuk menyalurkan bunyi enjin ke dalam kabin bagi memastikan penumpang dapat menikmati sepenuhnya ngauman V8 tersebut terutamanya apabila bumbung dibuka. Menurut Lexus, sistem ini turut digunakan pada LFA.

LC 500 Convertible dijangka memasuki pasaran bermula musim panas tahun hadapan. Model edisi terhad LC 500 Convertible Inspiration Series yang didatangkan dengan warna luaran Structural Blue dengan bahagian dalaman berwarna putih serta rim 21 inci akan ditawarkan kepada 100 pelanggan terawal.

Previous post

Ujian Penerbangan Kereta Terbang EHang 216 Batal

Next post

Nissan Sentra 2020 Muncul di Los Angeles Auto Show

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *