Gaya Hidup

Program Pembangunan Bakat Badminton Tahun Kedua Hasilkan 14 Juara Muda

Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP), satu usahasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Perodua, telah mencapai kemuncak tahun kedua dengan munculnya 14 juara muda kebangsaan.

Kejohanan Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Ipoh dari 17hb hingga 20hb Oktober, menyaksikan seramai 224 peserta akhir dari seluruh Malaysia bersaing dalam 11 kategori yang dipertandingkan.

“Dilancarkan bersama oleh Perodua dan KPM pada Februari 2018, BTDP adalah program pembangunan modal insan seluruh negara untuk jangka masa lima tahun, bertujuan mencari dan mencungkil bakat badminton Malaysia masa hadapan di kalangan murid-murid sekolah rendah, dengan harapan mereka dapat mewakili negara suatu hari nanti,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Seperti tahun pertama, program 2019 bermula pada bulan Mac dengan 140 jurulatih melatih 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.

Tahun lepas, hanya lapan kategori dipertandingkan melibatkan atlet murid berumur 9 hingga 11 tahun. Namun, tahun ini, BTDP memperkenalkan atlet murid berumur 12 tahun – terdiri daripada peserta 11 tahun dari tahun lepas – menerusi tiga kategori tambahan iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Perempuan dan buat kali pertama, Beregu Campuran.

Atlet-atlet murid ini telah melalui kejohanan di peringkat pusat dan negeri/wilayah persekutuan untuk sampai ke peringkat kebangsaan.

“Apa yang menarik mengenai BTDP adalah kami tidak hanya melihat keupayaan atlet murid di gelanggang sahaja. Di sepanjang latihan, kami juga menerapkan nilai-nilai positif seperti hormat-menghormati, disiplin, tekad, semangat kesukanan, ketepatan masa, rendah diri serta penjagaan kebersihan diri dan persekitaran.

“Kami juga menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup yang seimbang antara sukan, akademik dan keluarga. Kami percaya nilai-nilai seperti ini haruslah dipupuk dari muda,” ujar Dato’ Zainal.

Previous post

Proton Buka Satu Lagi Pusat 3S di Kota Kinabalu

Next post

Pirelli Bangunkan Tayar Khas Untuk BMW M8

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *