Berita Auto

Ford Umum Rekod Jualan Rantau ASEAN untuk Tahun 2015

Ford Motor Company hari ini mengumumkan bahawa jualan runcit keseluruhannya untuk rantau ASEAN pada tahun 2015 menokok sebanyak 3.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan mencatat rekod 103,975 unit.

Rekod jualan Ford di pasaran ASEAN dipacu oleh prestasi sepanjang tahun di Filipina, Vietnam dan Kemboja. Ford turut meningkatkan penguasaan pasaran di Thailand di sebalik cabaran industri domestik yang menyaksikan jumlah jualan menyusut selama tiga tahun berturut-turut.

“Kejayaan pengenalan lebih banyak kenderaan global Ford di seluruh pasaran ASEAN pada tahun 2015 – termasuklah trak pikap Ranger baharu dan SUV Everest serba baharu – nyata membantu menarik minat kelompok pelanggan yang lebih besar untuk berhubung dengan jenama Ford,” kata Presiden Ford ASEAN, Mark Kaufman.

“Bukan itu sahaja, kami juga terus menambah baik pengalaman pemilikan pelanggan. Di samping mengembangkan rangkaian pengedar Ford di semua pasaran di rantau ini,” kata Kaufman.

Jualan Ford di pasaran ASEAN diterajui oleh trak pikap Ranger yang mendefinisikan semula segmennya yang dibina di Thailand. Ia menjadi trak pikap terlaris di Vietnam, Kemboja dan Myanmar untuk dua tahun berturut-turut. Selain kedua terlaris di Filipina dan Malaysia.

Jualan Ranger di seluruh rantau ASEAN meningkat hampir lapan peratus berbanding tahun lalu dengan rekod jualan terbaik setakat ini dengan 54,114 unit.

“Ranger baharu berjaya menetapkan penanda aras industri dalam segmen trak pikap dengan rangkaian teknologi pintar, kemampuan tiada tandingan, penjimatan bahan api, reka bentuk dan keselesaan. Semua ini diserlahkan tanpa berkompromi dengan warisan ‘Built Ford Tough’ dan rugged,” jelas Kaufman.

Pada tahun 2015, Ranger telah dianugerahkan penarafan keselamatan maksimum lima bintang oleh Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP). Ia turut mendapat skor Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) paling tinggi berbanding mana-mana trak pikap yang diuji.

Prestasi Ford di pasaran ASEAN turut dibantu oleh permintaan memberangsangkan ke atas SUV kompak EcoSport yang menjadi model kedua terlaris Ford di rantau ini. EcoSport mencatatkan peningkatan jualan keseluruhan sebanyak 13 peratus berbanding tahun lalu kepada 20,518 unit.

Permintaan luar biasa terhadap Everest serba baharu yang mula dilancarkan pada suku ketiga tahun lalu di rantau ASEAN membantu memacu prestasi keseluruhan dengan jualannya naik 98 peratus berbanding tahun lalu kepada 11,233 unit.

Everest generasi seterusnya mendefinisikan semula ekspektasi pengguna untuk SUV saiz sederhana menerusi kemampuan off-road luar biasa, keselesaan di atas jalan, teknologi termaju, rekaan berani dan ruang dalaman yang mewah.

Sebagai salah sebuah kenderaan yang paling pintar dalam segmennya, Everest serba baharu menampilkan sistem ketersambungan SYNC 2 Ford, Curve Control, Blind Spot Information System dengan Cross Traffic Alert, Roll Stability Control, Electronic Stability Program dan Active Park Assist.

Fiesta yang sporty juga menyumbang kepada prestasi di ASEAN dengan jualan runcitnnya mencecah 7,634 unit.

Perkongsian Pasaran Meningkat, Catat Rekod Jualan

Thailand terus mengetuai prestasi keseluruhan Ford di ASEAN dengan jualan sepanjang tahun sebanyak 36,463 unit. Biarpun di sebalik iklim industri domestik yang perlahan dan menyaksikan jualan keseluruhan menyusut untuk tiga tahun berturut-turut, Ford bagaimanapun mampu mengatasi kelembapan industri dengan meningkatkan perkongsian pasaran sebanyak 0.3 peratus menjadi 4.6 peratus.

Jualan Ford di Thailand dipacu oleh trak pikap Ranger yang menamatkan tahun 2015 dengan jualan terbaik pada Disember. Ia mencatat kenaikan 24 peratus berbanding tahun lalu kepada  3,025 unit. Jualan Ranger sebanyak 23,846 unit pada tahun 2015 membantu meningkatkan perkongsian pasaran Ford kepada 0.8 peratus menjadi 7.3 peratus.

Di Filipina, Ford mencatatkan rekod jualan tahun 2015 dengan peningkatan sebanyak 25 peratus kepada 25,372 unit. Angka itu membantu Ford melompat satu anak tangga untuk menjadi jenama automatif ketiga paling laris di sana.

EcoSport menjadi model paling laris di Filipina dengan jualan pada tahun 2015 melonjak sebanyak 67 peratus kepada 8,702 unit. Ranger menjadi trak pikap kedua terlaris secara keseluruhannya di Filipina dengan jualan meningkat enam peratus berbanding tahun lalu untuk merekodkan jualan 8,445 unit. Everest juga mencatat rekod jualan terbaik pada tahun 2015 apabila naik 58 peratus kepada 4,945 unit.

Ford turut mencatat rekod jualan tahun lalu di Vietnam apabila jualannya melonjak sebanyak 48 peratus kepada 20,740 unit.

Ranger kekal menjadi trak pikap paling laris di Vietnam untuk dua tahun berturut-turut dengan jualannya melonjak 81 peratus kepada 8,685 units.

EcoSport juga mencatat rekod di Vietnam pada tahun 2015 apabila jualan keseluruhannya naik 145 peratus kepada 3,977 units. Transit pula terus menjadi kenderaan paling laris dalam segmen bas dan van di Vietnam untuk dua tahun berturut-turut dengan lonjakan jualan sebanyak 56 peratus kepada 5,600 unit.

Ranger kekal menjadi trak pikap kedua paling laris di Malaysia pada tahun 2015 apabila jualannya meningkat hampir lapan peratus kepada 9,231 unit. Sekali gus membantu jualan keseluruhan Ford menjadi 12,130 unit.

Prestasi jualan Ford di ASEAN didorong oleh pertumbuhan berterusan di pasaran-pasaran membangun yang dipacu oleh permintaan kukuh terhadap model Ranger.

Di Kemboja, Ford menamatkan tahun 2015 dengan prestasi tahunan terbaik dan peningkatan jualan sebanyak 41 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1,266 unit. Jualan kenderaan Ford sepanjang tahun 2015 di Myanmar menokok sebanyak enam peratus kepada 679 unit.

Di Laos, jualan Ford meningkat sebanyak lima peratus kepada 653 unit. Di Singapura pula, Ford menyaksikan jualannya naik 83 peratus berbanding tahun lalu kepada 422 unit.

“Sepanjang tahun 2015, kami terus memberi khidmat dan mengalu-alukan kehadiran pelanggan baru Ford di seluruh pasaran ASEAN,” kata Kaufman. “Memandangkan jumlah pelanggan kian meningkat di rantau ini, maka kami akan terus menambah baik pengalaman pemilikan kenderaan Ford.”

 

 

Previous post

29 Januari 2016 - Harijadi Ke130 Automobil

Next post

MINI Malaysia Perkenalkan MINI Countryman Park Lane Edisi Terhad Baharu.

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *