Berita Auto

BMW Malaysia Buka Pendaftaran Subsidi Kerusi Kanak-Kanak

BMW Group Malaysia mengumumkan Program Subsidi NEXTStep menerusi kolaborasi dengan rakan kongsi jangka panjangnya, Safe ‘n Sound untuk menyediakan kerusi kereta kanak-kanak bersubsidi penuh buat ibu bapa dalam kategori pendapatan B40.

Program Subsidi NEXTStep diperkenalkan atas sebahagian daripada inisiatif BMW Safety 360°, berlatarkan kejayaan satu lagi program subsidi yang menyaksikan 300 buah kerusi kereta kanak-kanak bersubsidi diserahkan kepada ibu bapa di seluruh Malaysia sejak penghujung tahun 2019.

Program subsidi terbaharu ini akan membekalkan kerusi kereta kanak-kanak dengan had berat sehingga 36 kg menerusi sumbangan yang dibuat sebelum ini oleh BMW Group Financial Services Malaysia.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Sejak lebih daripada lapan tahun, inisiatif BMW Safety 360° telah memberi tumpuan untuk meningkatkan kesedaran serta mendorong para keluarga untuk mengambil tindakan agar amalan keselamatan kereta yang lebih bertanggungjawab menjadi kebiasaan di Malaysia.

“Kami sedar bahawa isu penerimagunaan yang rendah harus diatasi dengan melangkaui pendekatan yang bersifat verbal semata-mata ataupun menerusi pemberian subsidi separa, khususnya buat komuniti yang memerlukan pada saat ini. Dengan Program Subsidi NEXTStep, kami berhasrat untuk terus menjadikan kerusi kereta kanak-kanak ini lebih mudah untuk diakses buat para ibu bapa yang memerlukan,” tambah beliau.

Program ini disediakan khas untuk keluarga dengan pendapatan isu rumah bulanan bawah RM3,500 yang bakal menimang cahaya mata atau mempunyai anak dengan berat sehingga 36 kg. Ibu bapa boleh mendaftar di laman web Safe ‘n Sound mulai hari ini hingga 22 Mei 2022.

Pemohon yang layak akan dimaklumkan oleh Safe ‘n Sound melalui WhatsApp. Ibu-bapa yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang akan dimaklumkan mengenai status penghantaran kerusi tersebut, manakala mereka yang berada di dalam kawasan Lembah Klang akan diberi makluman tarikh, waktu dan lokasi untuk mengambil kerusi kereta kanak-kanak mereka.

BMW Group Malaysia dan Safe ‘n Sound akan memberi subsidi penuh bagi kerusi-kerusi berikut, termasuk caj penghantaran kepada penerima di luar Lembah Klang. Kerusi yang bersesuaian akan dipilih untuk penerima mengikut berat dan tinggi anak-anak mereka, serta spesifikasi kenderaan masing-masing.

Previous post

UMW Toyota Motor Jual 6,946 Unit Kenderaan Pada April 2022

Next post

Proton Saga Facelift 2022 Dilancarkan - Harga Dari RM34,400

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *