Berita Auto

Honda Malaysia Rai Kejayaan Pengeluaran Ke 1 Juta Unit

Honda Malaysia hari ini meraikan pencapaian bersejarah mengeluarkan 1 juta unit kenderaan di kilang di Pegoh, Melaka, sejak memulakan operasi pemasangan tempatan pada 2003. Unit ke 1 juta itu merupakan Honda Civic RS serba baharu yang dilancarkan ke pasaran baru-baru ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, “Saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua sekutu dan pembekal Honda untuk usaha dan kerja keras mereka bagi memastikan proses pengeluaran dan operasi rantaian bekalan yang lancar walaupun berdepan pelbagai cabaran.”

Syarikat itu membuka jalur pemasangan No.1 di kilang Pegoh pada Januari 2003 di atas kawasan berkeluasan 46,543 meter persegi, dengan kapasiti pengeluaran mencecah 50,000 unit kenderaan setahun. Model Honda pertama yang dikeluarkan dari kilang ini adalah CR-V generasi kedua.

Pada Oktober 2013, Honda Malaysia mula mengeluarkan model Jazz Hybrid menerusi jalur pengeluaran No. 2 yang dibangunkan di atas tapak berkeluasan 49,190.5 meter persegi. Jalur No.2 itu dirasmikan pada Januari 2014 dan pertambahan itu meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan Honda Malaysia kepada 100,000 unit.Ini membolehkan syarikat itu memasang tujuh model iaitu City, City Hatchback, Civic, Accord, BR-V, HR-V dan CR-V. Bukan itu sahaja, kilang ini juga boleh memasang model berbeza pada satu-satu masa.

Dalam usahanya untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi untuk pasaran tempatan, Honda Malaysia telah membuat pelaburan ke atas pelbagai teknologi pengeluaran di Pegoh yang setanding dengan kilang-kilang Honda di Jepun.

Salah satu daripada pendekatan yang diambil oleh syarikat itu ialah dengan menggunapakai teknologi Laser Brazing bagi menghasilkan bumbung yang lebih kemas dan Inner Frame Welding untuk meningkatkan tahap ketegaran badan kereta. Sementara itu, Spray Polyurethane Foam pula mengurangkan kebisingan dan gegaran pada kereta Honda.

Di samping memanfaatkan teknologi canggih untuk menghasilkan kenderaan, Honda Malaysia juga akan terus memperkembangkan penggunaan teknologi e:HEV, VTEC Turbocharged, Honda SENSING dan Honda CONNECT pada rangkaian modelnya bagi melangkaui jangkaan pelanggan, meningkatkan mobiliti dan merealisasikan Joy of Creating.

Honda Malaysia menekankan bahawa syarikat itu komited dalam menyediakan produk yang cemerlang kepada semua rakyat Malaysia dan meningkatkan standard perkhidmatan pelanggan.

Previous post

7 Hari Tol Percuma Di Plaza Tol Malaysia Singapura - PM

Next post

Proton X70 Facelift Akan Mendapat Enjin 1.5 Turbo

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *