Berita Auto

Volkswagen Golf R Mk8 Tiba Di Malaysia – RM356,412

Melengkapkan barisan Volkswagen Golf Mk8 yang dilancarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) untuk pasaran tempatan ialah model yang paling berkuasa iaitu Golf R. Bagaimanapun, tidak seperti R-Line dan GTI yang dipasang di Pekan, Pahang, model ini diimport sepenuhnya dari Jerman.

Reka bentuk luaran Golf R diserlahkan menerusi elemen-elemen ‘R’ seperti rekaan bampar dan corong pengambilan udara, diffuser yang baharu yang dipadankan bersama sepasang ekzos pada bahagian kiri dan kanan, serta rim aloi Adelaide bersaiz 19 inci. Satu lagi ciri unik ialah pancaran logo R apabila pintu pemandu dibuka dan ditutup.

Ruang dalaman mencetuskan elemen sporty dan mewah melalui kemasan khas R dalam Carbon Grey, tempat duduk depan sports premium yang dibalut kulit Nappa dan logo R pada perehat kepala. Tempat duduk pemandu mempunyai pengubahsuaian posisi dan sokongan lumbar secara elektrik.

Ciri-ciri lain hadir dalam bentuk stereng sports pelbagai fungsi di mana ia mempunyai butang R dengan lampu latar berwarna biru yang mengaktifkan mode ‘Race’ secara serta-merta apabila ditekan. Satu lagi ciri istimewa ialah paddle shifter yang lebih besar.

Kokpit Digital bersaiz 10 inci hadir bersama pelbagai bentuk ubah suai, termasuklah R-View yang direka secara eksklusif dan hanya ada pada model ini. Ia menawarkan data seperti output, kuasa, agihan tork, tekanan caj, lap timer dan G-meter yang boleh dilihat pada masa sebenar.

Sistem infohibur menampilkan skrin berukuran 10 inci dengan sistem navigasi, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta 10 unit pembesar suara Harman Kardon. Sistem pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna dan pendingin hawa Climatronic tiga zon turut disertakan.

Kuasa dibekalkan oleh enjin TSI 2.0-liter empat silinder yang menghamburkan 320 PS dan 400 Nm. Output disalurkan ke roda oleh kotak gear DSG tujuh kelajuan melalui sistem pacuan semua roda 4Motion.

Sistem berkenaan kini mempunyai ciri Performance Torque Vectoring membolehkan kuasa diagihkan bukan sahaja di antara gandar hadapan dan belakang, malah secara selektif di antara roda belakang. Ini dapat meningkatkan kelincahan Golf R dengan signifikan, terutamanya ketika mengambil selekoh.

Volkswagen Golf R Mk8

Selain itu, sistem Vehicle Dynamics Manager diintegrasikan dengan sistem-sistem lain seperti Electronic Differential Locks (XDS), Dynamic Chassis Control (DCC) dan stereng yang progresif untuk memberikan cengkaman optimum serta pengendalian terbaik.

Boleh didapati dalam warna Lapiz Blue, Deep Black dan Pure White, Golf R dijual pada harga bermula RM356,412.85 tanpa cukai jualan. Ia hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Previous post

Volkswagen Golf GTI Mk8 Dilancarkan - RM211,689

Next post

Andrea Somorova Kembali Ke Continental Tyre Malaysia Sebagai Pengarah Urusan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *