Berita Auto

Proton Lancar Minyak Pelincir, Barangan Eksklusif R3

Nampaknya Proton telah memulakan inisiatif untuk memasarkan kembali produk divisyen sukan permotorannya iaitu R3 (Race.Rally.Research). Sebagai permulaan, syarikat itu menawarkan rangkaian minyak pelincir premium dan juga beberapa barangan eksklusif.

Dibangunkan dengan kerjasama Petronas, rangkaian minyak pelincir premium R3 boleh didapati dalam formulasi sintetik sepenuhnya P1 SAE 5W-30 dan separa sintetik P2 SAE 10W-30. Kedua-duanya memiliki penarafan SP dan SN Plus, serta pensijilan Institut Petroleum Amerika (API).

Menurut Proton, kedua-duanya minyak pelincir tersebut juga dirumus menggunakan minyak asas Etro 6+ terbaru dari Petronas bagi melawan haba berlebihan, seterusnya memastikan prestasi yang lebih baik bagi enjin pengecas turbo suntikan langsung.

Harga untuk pek 4 liter bermula dari RM158 bagi minyak pelincir separa sintetik P2 SAE 10W-30 dan RM208 bagi minyak pelincir P1 SAE 5W-30. Bagaimanapun, Bagaimanapun, pelanggan boleh mendapatkannya pada harga pengenalan sebanyak RM128 dan RM178 sehingga 30 April ini.

Sementara itu, rangkaian barangan eksklusif R3 pula terdiri daripada koleksi pakaian seperti baju polo dry-fit, baju-T, topi snapback dan topi baseball yang dijual pada harga bermula dari RM49 hingga RM60. Seperti minyak enjin tersebut, koleksi ini boleh didapati menerusi wakil pengedar rasmi Proton seperti berikut:

Sebagai menandakan hala tuju baru R3, divisyen itu kini diletakkan di bawah naungan Proton Global Services (PGS), anak syarikat milik penuh Proton Edar.

Lee Yeet Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Global Services berkata syarikat itu akan melancarkan lebih banyak produk R3 termasuk aksesori untuk pemilik kereta Proton pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membina semula hubungan dengan peminat.

Previous post

Targa 911 Khas Menyambut Ulangtahun Ke 50 Reka Bentuk Porsche

Next post

Didi Automotive Dilantik Pengedar Rasmi Royal Enfield

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *