Berita Auto

Sistem JPJ Kuno Lebih 10 Tahun – Menteri Pengangkutan

Dalam satu lawatan kerja mengejut ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor di Taman Daya, Johor Bahru pada Ahad (28 November 2021), Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengakui kecewa dengan sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang dianggap kuno.

Malah, beliau juga sedih dan terkilan melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling bangunan JPJ Johor semata-mata untuk mendapatkan salinan Lesen Memandu Malaysia (LMM). Hal ini kerana LMM tidak dapat diperbaharui di UTC dan pejabat pos.

Bukan itu sahaja, mereka yang membuat transaksi secara dalam talian menerusi MySikap juga perlu hadir ke pejabat JPJ untuk urusan percetakan.

Membuatkan keadaan bertambah buruk, beliau mendapati bahawa daripada empat mesin cetak LMM yang dibekalkan ke pejabat JPJ Johor, hanya dua sahaja yang berfungsi.

“Perkara ini amat mengecewakan dan saya terus menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM. Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta,” kata Wee menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya.

Dalam masa sama, Wee juga menegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di bangunan JPJ khususnya pada hari Ahad.

“Saya beri terus nombor telefon bimbit saya kepada pegawai JPJ Johor. Saya pesan, jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM,” ujarnya.

Susulan lawatan itu, Wee mengarahkan ibu pejabat JPJ untuk mengumpul maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan pejabat pos tentang prestasi terkini pencetakan LMMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak yang dibekalkan oleh KPN.

“Saya dapat membuat kesimpulan bahawa sistem perkhidmatan kaunter JPJ yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisyen dan tidak menyusahkan rakyat.

“Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang di antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,” tambah beliau lagi.

Previous post

Lambang Sukan Permotoran BMW Klasik Kembali

Next post

Peugeot 208 Dan 2008 Di Malaysia Dipanggil Balik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *