Berita Auto

Honda Civic Hatchback 2022 Diperkenalkan Secara Rasmi

Honda secara rasminya telah memperkenalkan Civic Hatchback baharu, kira-kira dua bulan selepas kemunculan versi Sedan di peringkat global. Ia akan menjadi asas kepada Civic Type R generasi seterusnya yang dilaporkan akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

Model hatchback ini menggunakan konsep reka bentuk yang sama dengan model sedan namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia mempunyai sedikit kelainan iaitu saiz gril yang lebih besar yang dihiasi dengan kemasan honeycomb. Bukan itu sahaja, lampu belakang juga diberikan rekaan yang berbeza.

Dari segi ukuran, Civic Hatchback adalah 12.4 cm lebih pendek jika dibandingkan dengan Civic Sedan. Honda berkata ia mempunyi profil sisi seakan coupe yang diinspirasikan oleh model-model sportback Eropah. Pintu hatch-nya kini diperbuat daripada bahan komposit ringan dan mempunyai saiz cermin yang lebih besar. Bukan itu sahaja, bukaannya juga telah diperluaskan sebanyak 4 cm.

Seperti yang dijangka, rekaan papan pemukanya tidak berubah dan bagi pasaran Amerika Syarikat, model ini didatangkan dengan kluster instrumen digital LCD berukuran 10.2 inci, skrin sentuh tujuh inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem audio Bose dan pengecas tanpa wayar Qi. Skrin tersebut boleh dinaik taraf kepada unit lebih besar yang berukuran sembilan inci.

Civic Hatchback akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu enjin turbo 1.5-liter dengan 180 hp pada 6,000 rpm dan 240 Nm dari 1,700 hingga 4,500 rpm, serta enjin aspirasi natural 2.0-liter dengan 158 hp pada 6,500 rpm dan 187 Nm pada 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT dengan pemprograman Step-Shift yang mensimulasikan penukaran gear fizikal semasa pecutan untuk pemanduan lebih menyeronokkan.

Selain itu, transmisi manual enam kelajuan ditawarkan untuk varian Sport dan Sport Touring. Ia juga telah ditala untuk memberikan rasa yang lebih sporty menerusi lontaran gear yang lebih pendek. Penggunaan ‘flywheel’ baharu pula mengurangkan bunyi bising dan gegaran.

Honda Civic Hatchback

Sama seperti Sedan, topang MacPherson pada gandar hadapan menampilkan sendi bebola bergesaran rendah dan gegalas cagak peredam untuk mendapatkan tindak balas stereng yang lebih baik. Selain itu, lengan kawalan baharu pada bahagian belakang memberikan kestabilan dan pada masa yang mengurangkan gegaran di dalam kabin.

Dari segi keselamatan pula, semua varian Civic Hatchback mempunyai teknologi Honda Sensing yang kini didatangkan dengan Traffic Jam Assist, di samping ciri-ciri sedia ada seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS) dan Low-Speed Braking Control.

Previous post

Alejandro Mesonero-Romanos Ketuai Bahagian Reka Bentuk Alfa Romeo

Next post

Porsche 911 GT2 RS Pecah Rekod Kereta Produksi Di Nurburgring

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *