Cerita Auto

Honda Civic Mugen RR Ini Berharga Lebih Setengah Juta

Peminat tegar Honda Civic Type R (FD2R) pastinya cukup mengenali jentera berwarna merah ini. Dibangunkan oleh Mugen, jentera yang dikenali dengan nama rasmi Civic Mugen RR ini menjadi rebutan setiap insan yang bergelar ‘Budak H’ kerana ia menampilkan modifikasi yang menarik serta pelbagai komponen yang eksklusif.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-71

Bagaimanapun, bilangannya yang terhad (300 unit sahaja dihasilkan) menjadikan jentera ini cukup sukar untuk dimiliki. Jika ada untuk dijual pun, harga yang diletakkan cukup untuk membuatkan mereka yang berminat rasa sesak dada. Lihat sahaja unit bernombor 24/300 yang ditawarkan oleh Torque GT dari UK ini. Ia ditawarkan pada harga £89,990 atau bersamaan RM528,602 mengikut kadar pertukaran semasa!

Apa yang menjadikan Civic Mugen RR begitu istimewa? Pertama sekali, penggunaan material seperti aluminium dan gentian karbon serta pengurangan bahan penebat bunyi menjadikan ia 165 kg lebih ringan berbanding Civic Type R standard dengan berat keseluruhan hanya 1,095 kg.

Kedua, enjin 2.0-liter empat silinder K20A telah diberikan peningkatan yang menyaksikan kuasanya meningkat dari 222 hp kepada 237 hp. Penambahbaikan tersebut melibatkan penggunaan profil camshaft yang lebih agresif, sistem ambilan udara dengan kotak gentian karbon baharu, sistem ekzos 4-2-1 Mugen serta ECU yang ditala semula.

Bukan itu sahaja, Mugen turut menggunakan peredam dan spring yang dibangunkan oleh mereka sendiri, sekaligus menjadikan jentera rekaannya ini 10 mm lebih rendah berbanding Civic Type R. Peredam berkenaan mempunyai lima tahap pelarasan yang boleh dilaras secara manual.

Akhir sekali, Mugen RR didatangkan dengan pelbagai barangan eksklusif yang menjadikan kereta ini lebih menonjol. Antaranya adalah tempat duduk Recaro SP-X dengan kerangka gentian karbon, stereng gentian karbon, set meter Mugen, rim Mugen berukuran 18 inci yang dibalut tayar Bridgestone Potenza RE070 dan pelbagai lagi komponen yang menampilkan logo ‘tuner’ terkenal itu. Apa yang menarik, model ini didatangkan dalam satu warna sahaja iaitu Milano Red.

Previous post

Kia Dedah Teaser Sportage Generasi Ke-5

Next post

Yamaha NMAX Dapat 2 Warna Kelabu Baharu Untuk 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *