Berita Auto

Perodua Ativa Dilancarkan – Harga Dari RM61,500

Seperti yang dijanjikan, Perodua Ativa telah dilancarkan hari ini dengan harga rasmi antara RM61,500 hingga RM72,000 (atas jalan sebelum insurans) di Semenanjung Malaysia.

Harga tersebut lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang telah diumumkan sebelum ini, dan sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30 Jun nanti.

Ativa bukan sahaja model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build, malah ia juga merupakan hasil kerjasama pintar pertama antara Perodua dan rakan teknikal dan teknologinya, Daihatsu.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Ativa ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan AV. Ketiga-tiganya dipacu oleh enjin turbo 1.0-liter tiga silinder yang menghasilkan 97 hp pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi D-CVT.

Satu lagi ciri yang disertakan secara standard adalah Bantuan Pemanduan Selamat atau ASA 3.0. Ciri ini telah dinaik taraf bagi membolehkan ia berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi (sehingga 120 km/j untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki) berbanding ASA 2.0, selain boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam.

Selain itu, semua varian Ativa juga dilengkapi dengan enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan Auto High Beam, serta Lane Departure Warning and Prevention.

Varian H dan AV mendapat ciri tambahan dalam bentuk Adaptive Driving Beam, paparan multi-info TFT tujuh inci dan skrin sentuh sistem infotainmen berukuran sembilan inci dengan ciri pengenalan suara.

Sementara itu, varian AV pula didatangkan secara eksklusif dengan Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control. Kehadiran ciri-ciri tersebut secara tidak langsung menjadikannya model pertama Perodua yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2.

Pilihan warna yang disediakan adalah Glittering Silver, Granite Grey dan Cobalt Blue untuk varian X dan H, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red untuk varian H, serta Glittering Silver, Granite Grey, Pearl Diamond White dan Pearl Delima Red untuk AV. Dua warna terakhir itu boleh dipadankan dengan bumbung hitam.

Previous post

Volvo C40 Recharge - EV Terbaharu Dari Sweden

Next post

Penjimatan Bahan Bakar Hibrid Plug-In TIDAK Seperti Tuntutan Angka Rasmi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *