Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Volvo C40 Recharge – EV Terbaharu Dari Sweden

Sejajar dengan rancangannya untuk menjadi pengeluar kereta elektrik menjelang 2030, Volvo telah memperkenalkan model pertamanya yang dibina khusus sebagai kereta elektrik iaitu C40 Recharge. Ia berbeza dengan XC40 Recharge yang ditawarkan dalam versi elektrik (P8) dan hibrid plug-in (T5).

Seperti XC40, model terbaharu ini dibina di atas platform CMA. SUV ini mempunyai sepasang motor elektrik (satu pada gandar hadapan, satu pada gandar belakang) yang dikuasakan oleh sebuah bateri berkapasiti 78 kWj yang boleh dicas kepada 80% dalam masa 40 minit.

Gabungan motor-motor elektrik dan bateri tersebut memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 408 hp dan 660Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 4.9 saat serta jarak pemanduan sejauh 420 km. Apa yang menarik, jumlah tersebut dijangka meningkat dari masa ke masa menerusi kemaskini perisian yang dilakukan secara atas udara (Over-the-Air).

Dari segi reka bentuk, perbezaan paling ketara antara C40 Recharge dan XC40 boleh dilihat pada bahagian belakang di mana C40 menampilkan profail bumbung ala coupe dengan spoiler pada tailgate. Bukan itu sahaja, SUV elektrik ini juga dilengkapi dengan lampu dengan teknologi piksel baharu.

Sementara itu, rekaan ruang dalamannya pula tidak jauh berbeza dengan XC40. Terdapat pelbagai pilihan warna dan trim yang boleh dipilih kecuali kulit. Ini kerana C40 Recharge merupakan model Volvo pertama yang bebas daripada penggunaan upholsteri itu.

Dari segi kelengkapan pula, C40 Recharge didatangkan dengan sistem operasi Android yang dibangunkan dengan kerjasama Google. Oleh itu, pemandu boleh menggunakan pelbagai aplikasi Google seperti Maps, Assistant dan Play Store.

Menurut Volvo, model terbaharunya ini hanya boleh dibeli secara dalam talian. Bagi memudahkan pelanggan, ia akan didatangkan dengan pakej penjagaan yang merangkumi servis, waranti, bantuan tepi jalan, insurans serta pilihan pengecasan di kediaman.

Ia akan memasuki fasa pengeluaran pada musim luruh tahun ini di kilang Volvo Cars Ghent di Belgium, bersama dengan XC40 Recharge.

Previous post

Ford Ranger Raptor X Tampil Dalam Warna Merah 'True Red'

Next post

Perodua Ativa Dilancarkan - Harga Dari RM61,500

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *