Berita Auto

BMW 5 Series Facelift Bakal Dilancarkan Di Malaysia

BMW Malaysia telah memperlihatkan BMW 5 Series (G30) facelift versi pemasangan tempatan yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Ia boleh didapati dalam dua varian iaitu 530e M Sport dan 530i M Sport, dengan anggaran harga jualan berserta SST (atas jalan, tanpa insurans) RM343,000 bagi 530e dan RM396,000 bagi 530i.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-31

Model ini didatangkan lengkap dengan pakej M Aerodynamics, dengan BMW Individual Shadow Line yang berglos tinggi untuk 530e dan BMW Individual Exterior Line Aluminium Satinated untuk 530i. Kedua-dua varian membawakan gril ‘kidney’ yang lebih besar dan lampu hadapan yang langsing dengan sentuhan baharu pada rekaan lampu nyalaan siang.

530e M Sport didatangkan dengan lampu hadapan Adaptive LED Matrix, di samping lampu hadapan LED standard, manakala 530i M Sport pula dilengkapi dengan BMW Laserlight. Kedua-duanya mempunyai lampu puncak BMW Selective berciri anti silau dengan lampu membelok, termasuk fungsi membelok adaptif.

Turut disertakan adalah rim aloi ringan M 19-inci Y-Spoke 845 M Bi-Colour Jet Black, sistem suspensi adaptif serta brek M Sport dengan angkup brek M Sport berwarna biru.

Di dalam, terdapat stereng M dengan balutan kulit, tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan, upholsteri kulit Dakota serta trim kemasan Aluminium Rhombicle. Sebagai tambahan, pemilik 530i dapat menikmati kemudahan bumbung kaca elektrik.

Kedua-dua varian boleh didapati dalam warna Alpine White atau Carbon Black, dipadankan dengan upholsteri kulit Dakota hitam atau Cognac; atau dalam warna Phytonic Blue, Sophisto Grey atau Bluestone dengan upholsteri kulit Dakota hitam.

Dari segi kelengkapan, 5 Series facelift didatangkan dengan BMW Live Cockpit Professional yang menggunakan Sistem Operasi 7, di samping kluster instrumen 12.3 inci yang boleh dikonfigurasi, serta Paparan Kawalan dengan skrin sentuh yang sama besarnya.

Eksklusif bagi 530i ialah Kawalan Gestur BMW (BMW Gesture Control), Papar Pandu (Head-Up Display), Kunci Paparan BMW (BMW Display Key) dan sistem bunyi keliling Harman Kardon.

Ciri Bantuan Memandu ditawarkan melalui Amaran Pengeluaran dan Penukaran Laluan, amaran perlanggaran hadapan dengan intervensi brek, pencegahan perlanggaran belakang dan amaran perentasan trafik. Fungsi Parking Assistant Plus turut disertakan secara standard pada kedua-dua varian, manakala 530i mendapat tambahan Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) dengan fungsi Henti & Mula.

530i dikuasakan oleh enjin BMW TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 252 hp dan 350 Nm. Transmisi automatik lapan kelajuan membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.4 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

Sementara itu, 530e menampilkan enjin yang sama namun dengan tambahan 109 hp dari motor elektrik, ia mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 292 hp dan 420 Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat namun kelajuan maksimumnya lebih rendah iaitu 235 km/j. Ia mempunyai tiga mod pemanduan eDrive iaitu Auto, Max dan Xtra Boost.

Motor elektrik tersebut membolehkan varian ini dipandu dengan kuasa elektrik sejauh 67 km. Pengecasan mengambil masa kira-kira 3 jam 35 minit menerusi BMW i Wallbox atau bawah 6 jam dengan soket konvensional menggunakan kabel pengecasan standard.

Previous post

Toyota Corolla Cross Akhirnya Masuk Pasaran Malaysia

Next post

Nissan Navara Facelift Lancar Di Malaysia 16 April Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *