Berita Auto

Honda HR-V Generasi Ketiga Didedahkan

Gabungan reka bentuk hatchback yang bergaya dengan praktikaliti sebuah SUV yang diketengahkan oleh Honda HR-V generasi kedua dilihat berjaya memacu popularitinya. Namun, setelah lapan tahun berada di pasaran, kini tiba masa untuk crossover itu memberikan ruang kepada penggantinya.

Bakal memasuki pasaran Eropah lewat akhir tahun ini, HR-V generasi ketiga menampilkan penggayaan yang lebih kemas dan premium, dengan bentuk coupe kompak yang agak berbeza dengan model sedia ada. Rekaan gril diperbaharui dengan bar mendatar serta jalur krom yang diintegrasikan ke dalam lampu utama.

Menurut Honda, model ini mempunyai bonet yang lebih panjang, manakala garisan karakter yang merentasi sepanjang bahagian sisi memberikannya imej yang lebih gagah. Pemegang pintu belakang kekal tersembunyi di bahagian tiang C. Walapun ukuran dimensi model ini masih belum diumumkan, ia tampak lebih besar di dalam gambar.

Sementara itu, bahagian belakang pula menampilkan rekaan lampu lebih langsing yang dihubungkan dengan jalur melintang pada tailgate. Bergantung pada pasaran, HR-V boleh didapati dalam warna Premium Sunlight White Pearl, Crystal Black Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Sand Khaki Pearl, Premium Crystal Red Metallic dan Midnight Blue Beam Metallic. Sesetengah model boleh didapati dalam konfigurasi dwi tona dengan bumbung hitam atau perak.

Seperti bahagian luarannya, rekaan ruang kabin HR-V juga dilihat lebih mewah. Skrin infotainmen tidak lagi tertanam di dalam papan pemuka, tetapi diletakkan di bahagian atasnya. Rekaan corong sistem pendingin hawa mendatar dikekalkan namun ia kini lebih panjang. Pengecas wayarles Qi dan bumbung suria panoramik adalah antara beberapa ciri yang ditawarkan.

Untuk pasaran Eropah, HR-V akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid e:HEV yang turut digunakan oleh City dan Jazz. Pasaran Jepun pula mendapat versi 1.5-liter i-VTEC yang dipadankan dengan CVT. Bagaimana pula dengan pasaran Malaysia? Adakah kita akan kekal dengan varian petrol atau mungkinkah varian e:HEV dibawa masuk untuk dijual bersama dengan City RS?

Previous post

Mercedes-Benz EQC Kini Lebih Murah Tanpa Kit AMG Line Di Eropah

Next post

"K8" Ini adalah Kereta Baharu Yang Pertama Selepas Penjenamaan Semula Kia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *