Bisnes

BMW Malaysia Terajui Segmen Premium Dengan 52% Pegangan Pasaran

BMW Group Malaysia mengumumkan ia berjaya menyerahkan 11,016 unit kenderaan dari portfolio BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2020. Pencapaian itu meletakannya sebagai peneraju dalam segmen automotif premium di Malaysia dengan lebih daripada 52% pegangan pasaran dalam segmen tersebut.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, 8,903 unit daripadanya adalah kenderaan BMW. Barisan model 3 Series ternyata popular di kalangan pelanggan dengan jualan melebihi 2,500 unit, di mana 1,400 unit daripadanya disumbang oleh 320i Sport. 5 Series pula mencatat 1,600 unit jualan, dengan lebih 900 unit daripadanya terdiri daripada 530e.

Untuk model hibrid plug-in, BMW Group Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju mobiliti elektro apabila menyerahkan lebih 2,200 unit. Penyumbang utama kepada pencapaian ini adalah 530e dan 740Le xDrive.

Dari segi prestasi pula, syarikat itu berjaya menjual 80 unit model M. Tahun lalu, portfolio model M dikembangkan lagi dengan pelancaran enam model iaitu M8 Coupe, M8 Gran Coupe, X3 M, X4 M, M3 dan M4.

MINI Malaysia pula berjaya menyerahkan 987 unit kenderaan pada tahun lalu. Lebih 47% daripada jumlah tersebut disumbang oleh MINI Cooper S Countryman.

Pencapaian BMW Motorrad tidak kurang hebatnya dengan jumlah penyerahan mencecah 1,126 unit sepanjang 2020, sekaligus melebihi jumlah bagi tahun terdahulu. Segmen kembara menjadi penyumbang utama dengan jualan melebihi 670 unit, dengan sekitar 300 daripadanya terdiri daripada jentera R 1250 GS Adventure.

“Buat julung kalinya, dengan rasa rendah hati kami ingin mengumumkan bahawa seluruh bilangan kenderaan yang berjaya diserahkan telahditunjangi oleh barisan kenderaan jenama BMW dan MINI yang dipasang di dalam negara – yang melebihi 87% daripada jumlah penyerahan tersebut,” kata Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia

“Setelah mengharungi cabaran tahun 2020, angka yang dicapai ini memberi kami inspirasi untuk terus menjulang komitmen kami untuk menggiatkan lagi pelaburan dalam industri automotif Malaysia,” tambah beliau.

Previous post

Perodua D55L Akhirnya Dibuka Untuk Tempahan - Dari RM62k

Next post

Sebastian Vettel Ingin Jual 8 Jentera 'Rare' Miliknya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *