Motosikal / Lain Lain Roda

Ultraviolette F77 – Satu Lagi Motosikal Elektrik Dari India

Jika dibandingkan dengan kereta elektrik, pasaran motosikal elektrik masih tersangat kecil. Bagaimanapun, bilangan syarikat pemula (startup) yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan menunjukkan bahawa ia mempunyai potensi untuk berkembang.

Salah satu ‘startup’ yang dilihat bersedia untuk bersaing dalam segmen motosikal elektrik adalah Ultraviolette yang berasal dari Bengaluru, India. Ramai termasuk kami yang tidak pernah mendengar nama syarikat ini namun semuanya akan berubah dengan pengenalan satu-satunya produk mereka iaitu F77.

Dibangunkan dengan kerjasama TVS, F77 mempunyai penampilan yang tidak ubah seperti KTM 1290 Super Duke, kecuali ia mempunyai panel badan agresif yang menutupi keseluruhan badannya. Pelindung suspensi hadapan dan rekaan bahagian ekor yang menonggeng membuatkan ia kelihatan agak sporty. Ultraviolette menawarkan tiga varian iaitu Airstrike, Shadow dan Laser, masing-masing dengan skema warna tersendiri.

Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai ukuran tapak roda sepanjang 1,340 mm, manakala kedudukan tempat duduk pula adalah setinggi 800 mm, sekaligus meletakannya dalam kategori motosikal 250 cc untuk saiz. Berat basahnya pula adalah sekitar 158 kg, agak menarik memandangkan yang ia adalah motosikal elektrik yang mempunyai pek bateri.

Mengenai spesifikasi teknikal F77, jentera ini dilengkapi dengan sebuah motor elektrik yang mampu menjana 33.5 hp pada 2,250 rpm dan tork maksimum 450 Nm. Jangkaan kami, jumlah penuh tork tersebut hanya boleh diakses dalam mod Insane. Dalam mod lain iaitu Eco dan Sport, motor elektrik sebut menghasilkan 90 Nm.

Dari segi prestasi, F77 boleh memecut dari 0 hingga 60 km/j dalam 2.9 saatu dan dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 147 km/j. Tiga pek bateri lithium-ion berkapasiti 4.2 kWj memberikan jarak pemanduan sejauh 130 km hingga 150 km. Untuk pengecasan penuh, bateri-bateri tersebut mengambil masa kira-kira lima jam dengan pengecas standard, atau hanya 90 minit menerusi pengecas pantas.

F77 dibina menggunakan kerangka keluli bercampur aluminium yang dipadankan dengan fork terbalik dan penyerap hentak boleh laras. Rim yang digunakan adalah bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berukuran 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang. ABS turut disertakan secara standard.

Lain-lain, model ini dilengkapi dengan IMU 9-paksi, sensor impak dan hentakan serta lampu automatik. Bahagian kokpit menampilkan paparan digital dengan ciri ketersambungan LTE, telefon pintar Android dan iOS, serta GPS.

F77 dijual pada harga RS 3.25 lakh atau RM17,972 berdasarkan kadar tukaran semasa. Tidak dapat dipastikan sama ada Ultraviolette mempunyai sebarang rancangan untuk menawarkan model ini di pasaran lain selain India.

Previous post

Hyundai Dedah Gambar Acah Ioniq 5

Next post

Honda EX5 Edisi Ulang Tahun Ke-35 Dilancarkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *