Berita Auto

Toyota GR Yaris, Vios GR-S Terima Sambutan Hangat

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan bahawa Toyota GR Yaris dan Vios GR-S yang dilancarkan serentak pada bulan lalu menerima sambutan yang memberangsangkan dan pesanan untuk kedua-dua model itu melebihi jangkaan awal.

GR Yaris merupakan model homologasi istimewa yang dibangunkan dengan menggunakan dari pengetahuan dan pengalaman Toyota bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC).

Dibina di atas platform unik, GR Yaris dikuasakan oleh enjin turbo 1.6-liter tiga silinder yang menghasilkan 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm dari 3,000 hingga 4,600 rpm. Transmisi manual enam kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four.

Hanya 25,000 unit dihasilkan untuk pasaran global dan Malaysia menerima peruntukan sebanyak 200 unit. Setiap unit didatangkan dengan Performance Pack yang merangkumi rim BBS berukuran 18 inci dan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18, serta Limited Slip Differential (LSD) Torsen.

GR Yaris dijual pada harga RM299,000 (harga atas jalan tidak termasuk insurans) dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. 65 pembeli terawal akan menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan peluang untuk mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris.

Sementara itu, Vios GR-S pula didatangkan dengan kit badan yang terdiri daripada rekaan bampar depan yang mirip GR Yaris, diffuser belakang, serta beberapa komponen berwarna hitam seperti spoiler, skirting sisi dan cermin sisi.

Bukan itu sahaja, model ini juga menerima talaan prestasi dalam bentuk sistem suspensi sport dan CVT 10 kelajuan dengan mod Sport dan paddle shifter. Ia juga dilengkapi dengan rim aloi 17-inci yang dibalut tayar Toyo bersaiz 205/45R17.

Boleh didapati dalam Platinum White Pearl dan Red Mica Metallic, Vios GR-S ditawarkan pada harga RM95,284. Seperti GR Yaris, model ini hanya boleh dibeli daripada wakil pengedar Toyota yang mempunyai GR Garage.

“Walaupun 2020 merupakan tahun yang mencabar, kami gembira dapat memberikan keseronokan dalam pasaran Malaysia sebagai persediaan untuk tahun yang lebih baik. Barisan Toyota kami telah diperkembangkan dengan model dan varian tambahan untuk memenuhi setiap jenis keperluan,” kata Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

Previous post

Mercedes-Benz Perkenal Paparan Infohibur 56-Inci MBUX Hyperscreen

Next post

Naza Kia Akan Melancarkan SUV Kia Seltos

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *