Berita Auto

Toyota GR Yaris Kini Di Malaysia – 200 Unit Sahaja Untuk Direbut!

Selain Vios GR-S, satu lagi kejutan yang dibawakan oleh UMW Toyota (UMWT) adalah pelancaran model hatchback berprestasi tinggi iaitu Toyota GR Yaris Performance Pack Edition.

Untuk pasaran Malaysia, hanya 200 unit GR Yaris akan diperuntukkan. Setiap unit dijual pada harga RM299,000 (harga atas jalan tidak termasuk insurans) dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Tiga warna ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Emotional Red 2 dan Precious Black.

UMWT turut menawarkan Pakej Pembeli Terawal bernilai RM5,000 yang akan menyaksikan pembeli menerima beg topi keledar eksklusif, model skala GR Yaris dan peluang untuk mengikuti aktiviti Pengalaman Memandu GR Yaris 2021.

Apa yang menjadikan model ini begitu istimewa? Secara asasnya, GR Yaris merupakan sebuah jentera World Rally Championship (WRC) yang dibina untuk jalan raya dan satu-satunya kereta WRC sah yang boleh dibeli untuk tujuan bukan perlumbaan.

Ia dibina di atas platform unik yang menggabungkan platform GA-B terkini (daripada Yaris hatchback generasi terbaru) dan bahagian belakang yang diadaptasi daripada platform GA-C (digunakan untuk Corolla dan C- HR).

Kuasa dibekalkan oleh enjin turbo 1.6-liter tiga silinder dengan janaan 261 PS pada 6,500 rpm dan 360 Nm dari 3,000 hingga 4,600 rpm. Enjin itu dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda menerusi sistem pacuan semua roda GR-Four.

GR-Four bertindak untuk mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang melalui ‘coupling’ tindak balas tinggi dan klac jenis multi-plat yang dikawal secara elektronik. Dalam mod Normal, tork diagihkan dalam nisbah 60:40 antara depan dan belakang, mod Sport pula menyaksikan agihan 30:70 sementara dalam mod Track, agihan tork adalah 50:50.

Khas untuk Performance Pack Edition, GR Yaris dilengkapi dengan rim 18 inci dan tayar Michelin Pilot 4S bersaiz 225/40R18, serta Limited Slip Differential (LSD) Torsen.

Satu lagi kelebihan GR Yaris adalah penggunaan bahan-bahan ringan seperti bumbung yang diperbuat daripada material karbon baru yang ditempa (dan bukan dijalin) serta C-SMC (carbon sheet moulding compound); bonet, pintu depan dan but belakang aluminium; kepingan keluli nipis di bahagian sayap dan sisi, serta keluli tegangan tinggi di bahagian kritikal untuk memastikan keteguhan struktur.

Dengan reka bentuk tiga pintunya yang mengurangkan berat sebanyak 24 kg, GR Yaris mempunyai berat keseluruhan 1,280 kg, sekaligus melayakannya untuk menjadi pesaing ‘featherweight’ dalam WRC.

Suspensi rali yang ditala oleh pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally mempunyai geometri dan tetapan yang ditentukan untuk memaksimumkan cengkaman tayar. Bar anti-roll depan Performance Edition Pack lebih tebal dan diameter spring pada suspensi depan ditambah untuk meningkatkan kestabilan dan kelincahan.

Sistem brek terdiri daripada cakera brek dua bahagian berliang bersaiz 356 mm dengan angkup GR aluminium merah empat piston di bahagian depan, dan cakera berliang 297 mm dengan angkup aluminium dua omboh di bahagian belakang. Brek parkir mekanikal pula membolehkan pemandu melakukan aksi ‘handbrake turn’ seperti dalam perlumbaan rali.

Aspek keselamatan turut dititikberatkan menerusi ciri-ciri seperti enam beg udara; Hill-Start Assist Control (HAC); Anti-Lock Braking System (ABS); Brake Assist (BA); Eletronic Brake Force Distribution (EBD); Vehicle Stability Control (VSC); dan Traction Control (TRC). VSC dan TRC boleh dinyahaktifkan.

Turut disertakan adalah sistem Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi PreCrash System (PCS); Dynamic Radar Cruise Control (DRCC); Lane Departure Alert (LDA); Lane Tracing Assist (LTA); dan Auto High Beam (AHB).

Previous post

Dari Litar Lumba ke Jalan Raya - Toyota Vios GR-S Dilancarkan

Next post

Nilai Tambahan Trade In RM5,000 Apabila Anda Membeli Hyundai Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *