Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Toyota Fortuner Facelift Dibuka Untuk Tempahan – Dari RM172,244

UMW Toyota Motor Sdn Bhd hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Toyota Fortuner versi facelift sudah pun dibuka di semua cawangan pengedar sah UMW Toyota Motor di seluruh negara.

Dipasang di Malaysia, SUV 4X4 ini ditawarkan dalam dua varian dan hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Berikut adalah varian-varian yang ditawarkan berserta harga masing-masing:

  • Toyota Fortuner 2.8 VRZ 4×4 A/T — RM203,183.00
  • Toyota Fortuner 2.7 SRZ 4×4 A/T — RM172,244.00

Fortuner 2.8 VRZ merupakan varian baru yang menggantikan 2.4 VRZ yang pernah ditawarkan sebelum ini. Warna Bronze Mica Metallic dengan bumbung hitam akan ditawarkan secara eksklusif untuk varian flagship terbaru ini, begitu juga dengan Super White II dengan bumbung hitam. Warna lain yang boleh didapati adalah Medium Silver Metallic, Silver Metallic, Attitude Black Mica dan Phantom Brown Metallic.

Fortuner 2.7 SRZ pula ditawarkan dalam warna baharu Bronze Mica Metallic dan lima warna lain termasuk Super White II, Medium Silver Metallic, Silver Metallic, Attitude Black Mica dan Phantom Brown Metallic.

Dari segi penampilan, Fortuner 2.8 VRZ didatangkan dengan lampu Quad LED, gril mesh dan skid plate baharu. Bumbung, tiang A, cermin sisi dan spoiler berwarna hitam juga merupakan sebahagian daripada imej varian ini.

Bagi Fortuner 2.7 SRZ pula, lampu utama bi-LED turut menerima rekaan baharu yang lebih tajam, manakala gril dan bampar direka semula. Kedua-dua varian menerima lampu isyarat, lampu posisi dan lampu belakang baharu, serta rim 18 inci.

Ruang dalaman pula dijadikan lebih premium dengan kemasan dan warna terkini, serta sistem pencahayaan ambien. Panel instrumennya kini menampilkan animasi pembukaan Multi Info Display (MID) dengan maklumat tambahan, manakala penutup kunci baharu turut disertakan.

Untuk lebih keselesaan, kedua-dua varian kini dilengkapi dengan lampu dalaman LED, cermin elektrokromik dan ciri pelarasan kuasa pada tempat duduk penumpang hadapan.

Di bawah hud, Fortuner 2.8 VRZ menampilkan enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8-liter empat silinder. Dilengkapi dengan Variable Nozzle Turbocharger (VNT) dan Intercooler, ia menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.

Varian ini juga dilengkapi dengan stereng kuasa Variable Flow Control (VFC) yang dikatakan dapat membantu meningkatkan penjimatan minyak dengan cara mengurangkan penggunaan tork oleh pam stereng. Ciri ini didatangkan dengan mod Sport yang meningkatkan maklum balas stereng.

Disertakan secara standard pada kedua-dua varian, Auto Limited Slip Differential (LSD) menggunakan sistem kawalan cengkaman untuk mengawal brek ketika satu daripada tayar belakang mula tergelincir kerana permulaan licin.

Satu lagi ciri yang terdapat pada Fortuner adalah Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi ciri-ciri Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Alert (LDA), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) serta Yaw Assist Function. Bagaimanapun, ia hanya disertakan pada varian 2.8 VRZ.

Sama seperti yang terdapat pada Hilux, Yaw Assist Function diaktifkan jika kenderaan terkeluar lorong. Brek tambahan akan diberikan ke atas roda bahagian dalam untuk membawa kenderaan kembali ke dalam kedudukan dalam laluan yang sepatutnya.

Previous post

Penapis 'Kurumaku' Keluaran Honda Mampu Lawan Koronavirus

Next post

UMW Toyota Buka Tempahan Innova Facelift

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *