Berita Auto

Singer Bawa Porsche 911 Ke Arena Rali

Pakar restorasi Porsche yang berpengkalan di California iaitu Singer Vehicle Design telah memperkenalkan hasil tangan terbaru mereka iaitu All-Terrain Competition Study (ACS). Tidak seperti rekaan Singer yang lain, ACS direka sebagai jentera off-road yang diinspirasikan oleh 911 SC/RS dan 959.

Menurut Singer, pelanggan yang mengkomisenkan ACS sebenarnya memesan dua buah jentera, satu berwarna Parallax White yang memfokuskan kepada perlumbaan rali dan satu lagi yang berwarna Corsica Red untuk acara tarmac.

Kedua-duanya dibangunkan berasaskan model 911 Type 964 keluaran tahun 1990 dan mendapat sentuhan pakar rali Richard Tuthill. Satu nama yang tidak asing lagi dalam sukan rali, jentera rekaan Tuthill pernah memenangi beberapa perlumbaan utama, termasuk acara East African Safari Classic 2019.

Nadi ACS adalah enjin sejukan udara enam silinder bersesaran 3.6-liter dengan pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 450 hp dan 569 Nm. Unit ini dipadankan dengan transmisi berjujukan lima kelajuan dan sistem pacuan semua roda (AWD) tetap dengan LSD hadapan, tengah dan belakang.

Sistem suspensi pula terdiri daripada peredam boleh laras lima-hala berkembar pada bahagian hadapan dan belakang, manakala rim aluminium 16 inci yang digunakan dipadankan dengan tayar BF Goodrich All-Terrain. Kuasa membrek dibekalkan oleh cakera besi monobloc dengan angkup empat piston, serta brek tangan hidraulik.

Untuk badannya pula, Singer menggunakan panel yang diperbuat daripada gentian karbon dan casis monocoquenya juga telah diperkukuhkan bagi tujuan perlumbaan. Di dalam, terdapat sangkar keselamatan FIA, kerusi ‘bucket’, sistem penghidratan semula untuk pemandu dan penunjuk arah, serta sistem navigasi perlumbaan.

Apa yang menarik, pakej restorasi ACS turut ditawarkan kepada mana-mana pelanggan yang berminat. Harga bergantung pada spesifikasi yang dipilih oleh pelanggan.

Previous post

Mazda Berjaya Meningkatkan Jualan Di Amerika Syarikat Tahun Lalu

Next post

Mercedes-Benz Perkenal Paparan Infohibur 56-Inci MBUX Hyperscreen

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *