Berita Auto

Hyundai Tucson N Line Ada Rupa Dan Kuasa

Seperti yang dijanjikan, Hyundai telah memperkenalkan Tucson N Line menjelang pelancarannya di Eropah tidak lama lagi. Selain rekaan lebih dinamik, model ini juga boleh didapati dengan beberapa trenkuasa berprestasi yang menawarkan kuasa dari 136 PS hingga 265 PS.

Bermula dengan bahagian hadapan, Tucson N Line menampilkan gril lebih lebar yang diletakkan pada kedudukan lebih tinggi berbanding gril pada versi standard. Di bawahnya adalah lubang ambilan udara yang besar, serta ‘skid plate’ berwarna perak. Lampu utamanya pula dikelilingi bezel hitam berkilat.

Bahagian sisi menampilkan kemasan hitam berkilat, cermin sisi berwarna Phantom Black serta rim 19 inci dengan rekaan corak parametrik. Di belakang pula terdapat spoiler bumbung lengkap dengan sirip, diffuser serta muncung ekzos berkembar. Turut disertakan adalah jalur pemantul merah.

Tucson N Line boleh didapati dalam tujuh warna iaitu Shadow Grey, Polar White, Engine Red, Sunset Red, Dark Knight, Shimmering Silver dan Phantom Black. Kesemua warna ini, kecuali Shimmering Silver dan Phantom Black, boleh dipadankan dengan bumbung Phantom Black.

Sementara itu, ruang dalaman pula menampilkan tempat duduk sport yang dibalut upholsteri suede dan kulit berwarna hitam dengan jahitan kontras berwarna merah. Selain tempat duduk, jahitan merah juga digunakan untuk menghiasi panel pintu dan perehat tangan. Logo N pula boleh ditemui pada tempat duduk, stereng dan konsol tengah. Pedal dan perehat kaki logam turut disediakan.

Berikut adalah barisan enjin yang ditawarkan untuk Tucson N Line:

  • 1.6 T-GDI Plug-in Hybrid (265 PS)
  • 1.6 T-GDI Hybrid (230 PS)
  • 1.6 T-GDI 48V Mild Hybrid (180 atau 150 PS)
  • 1.6 T-GDI (150 PS)
  • 1.6 CRDi 48V (136 PS)

Seperti versi standard, model ini boleh didapati dengan sistem suspensi kawalan elektronik (ECS) dengan teknologi redaman adapatif. Ia dikatakan mampu memaksimumkan keselesaan dan prestasi dengan mengawal daya redaman pada setiap roda. Penggunaan ECS juga membuatkan stereng terasa lebih responsif dan berat.

Previous post

Robot DAL-e Hyundai Akan Membantu Jurujual Menjual Kereta

Next post

Model MINI 3-Pintu, 5-Pintu Dan Convertible Diubah Semula Untuk 2022

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *