Bisnes

Pengeluaran Honda Civic di UK Terjejas Akibat Gangguan Bekalan Komponen

Honda dilaporkan terpaksa menghentikan operasi pengeluaran Civic di kilangnya di Swindon, United Kingdom berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat, kesesakan menjelang perayaan Krismas serta persiapan untuk Brexit.

Jurucakap Honda memberitahu Automotive News Europe bahawa syarikat itu akan menghentikan pengeluaran Civic dan Civic Type R buat sementara waktu akibat masalah gangguan bekalan komponen.

Pelabuhan kontena di Felixstowe, England, di mana Honda mendapatkan bekalannya dari Asia, dikatakan mengalami kesesakan teruk akibat perayaan Krismas yang bakal tiba serta syarikat-syarikat yang ingin membuat penyimpanan barang sebelum tempoh peralihan Brexit berakhir pada 1 Januari. Keadaan ini memaksa kapal-kapal kontena meneruskan perjalanan mereka ke destinasi seterusnya.

Honda mempunyai sistem pengeluaran di mana komponen yang tiba dari pembekal akan terus dibawa ke kilang untuk proses pemasangan. Jika satu sahaja komponen hilang, pengeluaran tidak akan dapat diteruskan. Honda dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan penghantaran kargo melalui udara untuk menggerakkan bahagian dan komponen penting.

Michael Gove, menteri kabinet UK yang bertanggung jawab atas perundingan Brexit, menafikan bahawa pengeluaran Britain dari Kesatuan Eropah (EU) memainkan peranan dalam situasi di mana Honda terpaksa menghentikan operasi pengeluaran di kilangnya.

Menurut Gove, keadaan ini disebabkan faktor global. “Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini, ada pihak yang ingin menyimpan stok di gudang mereka. Dan saya berpendapat bahawa terdapat sebab-sebab yang berbeza kenapa ada pihak melakukannya.”

Previous post

Hyundai Elantra Generasi ke-7 Dilancarkan - RM158,888

Next post

Alfa Romeo Stelvio Veloce Ti Untuk Diperkenalkan 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *