Berita Auto

Hyundai Elantra Generasi ke-7 Dilancarkan – RM158,888

Hyundai Elantra generasi ketujuh telah dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia pada harga pengenalan RM158,888. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, sedan segmen C itu ditawarkan dalam satu varian sahaja.

Dibina di atas platform K3 baharu, Elantra menampilkan penggayaan Sensuous Sportiness yang diserlahkan menerusi gril Parametrik, lampu belakang berbentuk H dan rim berukuran 17 inci. Lampu hadapan LED dengan Smart High Beam Assist disertakan secara standard.

Ia juga mempunyai ukuran yang lebih besar berbanding model sebelum ini: panjang 4,676 mm (+56 mm), lebar 1,826 mm (+25 mm), tinggi 1,415 mm (-20 mm) dan jarak roda 2,720 mm (+20 mm).

Walaupun mempunyai bumbung yang lebih rendah, ruang lega kepala tidak terjejas. Saiz but melebihi 470 liter dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60/40 membolehkan pemilik mengangkut barangan yang besar dengan mudah.

Ruang dalaman pula memperlihatkan rekaan ala kokpit pesawat dengan ciri-ciri terkini seperti panel instrumen Supervision TFT berukuran 10.25 inci dan paparan infotainmen berukuran 8 inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, dan Bluetooth.

Turut disertakan adalah pengecas wayarles, brek parkir elektronik dengan Auto Hold dan pelarasan kuasa untuk tempat duduk pemandu. Ciri Smart Trunk pula akan membuka bonet belakang secara automatik apabila mengesan kehadiran Proximity Key.

Untuk pasaran Malaysia, Elantra dikuasakan oleh enjin SmartStream G 1.6-liter MPi yang mampu menjana 123 PS pada 6,300 rpm dan 154 Nm pada 4,500 rpm. Enjin aspirasi natural itu dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT) yang menggerakkan roda hadapan. Pemandu boleh menggunakan empat mod pemanduan iaitu Normal, Smart, Eco dan Sport.

Sementara itu, ciri keselamatan pula terdiri daripada ciri-ciri seperti berikut:

  • Forward Collision-Avoidance Assist (FCA)
  • Lane Keeping Assist (LKA)
  • Driver Attention Warning (DAW)
  • Lane Following Assist (LFA)
  • Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA) with Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA)
  • Smart Cruise Control (SCC)
  • Rear Occupant Alert
  • Safe Exit Warning
  • Leading Vehicle Departure Alert

Elantra serba baharu boleh didapati dalam empat warna iaitu Polar White, Amazon Grey, Electric Shadow dan Intense Blue. Untuk ruang dalaman, terdaapt dua pilihan iaitu warna hitam dengan campuran kulit semula jadi dan Tricot, atau Light Grey dengan kulit semula jadi dan fabrik tenunan.

Previous post

Toyota Bergabung dengan Hino untuk Membangunkan Trak Elektrik Bahan Bakar Sel

Next post

Pengeluaran Honda Civic di UK Terjejas Akibat Gangguan Bekalan Komponen

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *